Mutimedia Film Productions ingin memaklumkan bahawa syarikat produksi tersebut mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang menjalankan aktiviti penggambaran Rumah Madu Ku Berhantu.

Filem arahan Dato Profesor Dr A Razak Mohaideen ini telah mendapat kelulusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasioal Malaysia (FINAS) untuk menjalankan penggambaran sepanjang bulan April 2021.

Semua kru produksi dan pelakon Rumah Madu Ku Berhantu telah mengikuti SOP sepanjang tempoh penggambaran berlangsung.

Mengenai isu poster Rumah Madu Ku Berhantu yang tular di media sosial baru-baru ini, poster berkenaan adalah rekaan pertama dan pihak produksi akan mengeluarkan poster baharu dalam masa terdekat ini.

Multimedia Film Productions menerima baik semua maklum balas netizen mengenai isu terbabit dan berharap Rumah Madu Ku Berhantu yang mengetengahkan genre komedi seram dapat menceriakan semua rakyat Malaysia ketika negara ini sudah 2 tahun dilanda
pandemik Covid-19.

Rumah Madu Ku Berhantu diterbitkan oleh Multimedia Film Productions bersama Golden Screen Cinemas, Astro dan Six Fun Media. Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat Zizan Razak, Rita Ruidani, Nadia Brian, Azlee Senario, Saiful Apek dan Douglas Lim.

Rumah Madu Ku Berhantu adalah filem pertama di bawah kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 Disember 2021.

Selain Rumah Madu Ku Berhantu, terdapat lima filem lain di bawah kempen Jom #SapotLokal Filem 2021 iaitu Air Force The Movie, Biko, Rasuk, Wayang Puaka,
dan 3 Janda.