Berikutan pengumuman pembukaan semula program Phuket Sandbox kepada para pelancong yang telah divaksin sepenuhnya dari mana-mana negara, AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) melancarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Phuket dengan empat (4) penerbangan mingguan bermula 5 November 2021.

Bermula dari sekarang hingga 31 Oktober 2021, para tetamu boleh menempah penerbangan ke Phuket melalui ikon ‘Flights’ pada airasia Super App daripada hanya RM189 sehala untuk tempoh perjalanan antara 5 November dan 30 Mac 2022.

Para tetamu juga boleh mendapatkan nilai terbaik dengan pakej penerbangan dan penginapan melalui ikon ‘SNAP’ di airasia Super App bermula RM549 untuk perjalanan pada tempoh yang sama.

Para tetamu yang ingin menempah penginapan secara berasingan juga boleh menempah melalui ikon ‘Hotels’ di airasia Super App bagi penginapan yang disediakan oleh SHA Plus dan nikmati diskaun tambahan 10% dengan kod promosi, AAHOTEL10.

Rakyat Malaysia yang telah divaksin sepenuhnya dan ingin bercuti melalui Program Phuket Sandbox perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Thailand dan telah menerima Sijil Kemasukan yang boleh dibuat di Sistem Pendaftaran Sijil Kemasukan ke Thailand sebelum menempah tiket penerbangan mereka.

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Berikutan kejayaan besar gelembung perjalanan Langkawi di Malaysia, pembukaan semula Program Phuket Sandbox bagi para pelancong dari Malaysia adalah satu kejayaan besar kerana ini menandakan pembukaan semula sekatan perjalanan antarabangsa ke Thailand.

AirAsia berbesar hati untuk menyokong program ini dan kami berharap untuk menambah lebih banyak penerbangan untuk laluan percutian popular ini.

“Dari segi operasi, kami telah bersedia sepenuhnya untuk kembali memulakan penerbangan dan memastikan para tetamu dapat menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan tenang.

Sejak pelancaran gelembung perjalanan Langkawi dan pembukaan semula perjalanan antara negeri di Malaysia, kami telah menjual lebih 1 juta tempat duduk domestik. Kami juga mencatatkan muatan penumpang tinggi dan tempahan kukuh pada masa akan datang yang melambangkan pemulihan sektor pelancongan.”

Para tetamu AirAsia juga sentiasa dijamin dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat yang dikuatkuasakan dalam semua penerbangan kami dengan kru kabin terlatih yang terus memberikan perkhidmatan terbaik bertaraf dunia dalam masa pandemik ini.

Puan Nongyao Jirundorn, Pengarah Malaysia & Brunei, Lembaga Pelancongan Thailand berkata: “Thailand sedang bekerja keras untuk pembukaan semula sempadannya.

Pada masa ini, rakyat Malaysia yang telah divaksin sepenuhnya boleh bercuti ke Phuket dan Samui tanpa kuarantin. Thailand merupakan destinasi pelancongan nombor satu bagi Malaysia dan kami teruja untuk mengalu-alukan rakyat Malaysia ke bandar-bandar lain yang akan dibuka tidak lama lagi.