Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd, memeterai Perjanjian Induk (HOA) dengan MNA Energy Sdn Bhd (MNAE) bagi membangunkan teknologi bateri untuk motosikal elektrik (EV Dua Roda).

MNAE ditubuhkan pada 2016 dan telah menerima geran penyelidikan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk membangunkan teknologi bateri generasi akan datang.

Ni Hdin EV Tech dalam kenyataannya berkata, MNAE menghasilkan sistem simpanan tenaga bateri bagi pergerakan elektrik dan aplikasi tidak bergerak seperti menara telekomunikasi dan ladang tenaga solar.

Ia telah merintis Electric Mobility-as-a-Service (EMaaS) di Malaysia, dengan membangunkan SmartSwap – rumusan pasang siap yang merubah industri bagi prasarana pertukaran bateri untuk Motosikal Elektrik.

Dari kiri Khoo Chee Kong dan Muhammad Syukri Ibrahim di majlis menandatangi HOA antara Ni Hsin EV Tech dan MNAE di sini hari ini.

Majlis pemeteraian HOA tersebut disaksikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri MOSTI, Muhammad Syukri Ibrahim.

Khoo Chee Kong, Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech berkata, pihaknya melihat EV Dua Roda menerajui langkah ke arah penggunaan sumber tenaga alternatif yang boleh mengurangkan jejak karbon dan anjakan ke arah ekonomi lebih hijau.

“Kami sedang membangunkan, dengan koloborasi bersama MNAE, sebuah sistem bateri maju dan prasarana pertukaran bateri distandardkan untuk EV Dua Roda yang akan memudahkan penunggang untuk menukar bateri kosong mereka kepada bateri penuh di stesen-stesen yang akan kami bina. Kami percaya ia akan meningkatkan penggunaan EV Dua Roda di kawasan bandar,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya kolaborasi dengan MNAE menyokong usaha pihaknya ke dalam perniagaan e-mobiliti kerana sistem bateri adalah kritikal kepada EV Dua Roda yang dibangunkan secara kolaborasi dengan Dongguan Tailing Electric Vehicle Co., Ltd.

“Kini kami berusaha mendapatkan permit Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk EV Dua Roda ini kerana VTA adalah mustahak bagi program SmartSwap MNAE ini”, katanya lagi.

Sistem pertukaran bateri yang dibangunkan oleh MNAE akan memaparkan ciri penjejakan bateri dan pengurusan menerusi rangkaian disambungkan kepada awan yang mana hayat bateri boleh dipantau.

Sistem tersebut boleh dibandingkan dengan yang dilancarkan oleh Gogoro, platform penjanaan pertukaran bateri Taiwan bagi EV Dua Roda di bandar.

Khoo menambah, kolaborasi ini juga berkaitan menyokong keupayaan tempatan di dalam pembangunan teknologi hijau dan pada masa sama, mempromosi kelestarian seiring dengan tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pihaknya.

Ia juga sejajar dengan usaha Malaysia menggalakkan pemilikan kenderaan elektrik dan pembangunan prasarana berkaitan di negara ini’’.

Ekosistem EV disokong oleh Dasar Automotif Negara, yang mana terdapat inisiatif khusus untuk mengukuhkan ekosistem ini.

Menurut Dato Seri Mohamed Azmin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam ucapan penggulungannya bagi Rancangan Malaysia Ke-12, inisiatif-inisiatif tersebut merangkumi pengeluaran bahagian-bahagian kritikal, penetapan standard serta penyelidikan dan pembangunan membawa kepada pengkomersialan teknologi EV tempatan.