Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM13.0 bilion, melepasi sasaran bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM12.0 bilion walaupun masih berdepan cabaran pandemik.

Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih daripada 10,600 peluang pekerjaan baharu serta 570 peluang keusahawanan di seluruh ECER.

“Kami telah mengambil peluang untuk bekerja dengan cara yang berbeza dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta berbagai agensi seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dan juga Wakil Dagang Persekutuan Rusia di Malaysia dalam menganjurkan webinar untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI).

Pelaburan komited yang berjaya ditarik setakat ini adalah bukti kejayaan usaha ECERDC,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat Majlis ECERDC.

ECERDC akan meneruskan usaha dalam menarik pelaburan baharu melalui kerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang berkaitan untuk menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan ke Wilayah ini dan ke Malaysia.

Bagi menjayakan usaha ini, Kerajaan Persekutuan telah meneruskan dasar mesra pelabur dan melanjutkan Pakej Insentif ECER sehingga 31 Disember 2022 bagi pelabur di ECER.

Mesyuarat Majlis ECERDC yang diadakan secara maya telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Majlis dan dihadiri oleh Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan; Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; dan Datuk Ir. Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor. Turut hadir adalah Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan; Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); dan Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara.