Awal tahun ini, orang ramai yang ingin mencari sebuah kereta tanpa perlu memilikinya telah diperkenalkan dengan KINTO ONE, sebuah program langganan kenderaan
dengan satu ansuran bulanan tetap yang merangkumi segalanya.

Direka di Jepun dan ditawarkan di seluruh dunia, langganan ansuran bulanan tetap dengan KINTO ONE ini meliputi pendaftaran kenderaan, insurans tahunan komprehensif, cukai jalan, serta penyelenggaraan pencegahan dan berjadual.

Tempoh langganan adalah dalam masa dua atau tiga tahun dan sebaik sahaja tamat,
pelanggan hanya perlu memulangkan kenderaan terbabit dan selebihnya akan diuruskan untuk mereka.

Tidak perlu risau dengan nilai semasa atau cara untuk menjual kenderaan selepas tamat tempoh tersebut.

KINTO ONE merupakan hasil kerjasama antara Toyota Capital Malaysia Sdn Bhd dan UMW Toyota Motor, yang juga merupakan sebahagian daripada langkah awal Toyota di pasaran tempatan untuk merealisasikan impian menjadi sebuah syarikat mobiliti.

“Tidak lama selepas kami melancarkan KINTO ONE, negara ini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula, dan ini memaksa kami untuk menjadi lebih adaptif dengan perkembangan sekeliling.

Melalui semangat Kaizen dan disiplin berstruktur dalam pembangunan produk, kami mengambil kesempatan tempoh PKP berkenaan untuk menambahbaik ciri penawaran KINTO ONE,” jelas Presiden Toyota Capital Malaysia, Thomas Chai.

“Kami mendengar apa yang diperlukan oleh pasaran dan telah mengenal pasti beberapa pertambahan ciri KINTO ONE terbaru untuk memenuhi pasaran langganan kereta yang semakin berkembang ketika ini,” katanya.

Dengan ciri tambahan terbaru KINTO ONE, pelanggan kini boleh memilih pakej perbatuan tahunan yang berbeza, yang bermula dari 20,000 km hingga 30,000 km, serta memilih tempoh langganan yang lebih panjang hingga lima tahun.

Sebagai tambahan, KINTO ONE kini turut menawarkan Lite Package,sebagai maklum balas kepada permintaan pasaran di mana pelanggan kini kurang bergerak berbanding dahulu tetapi masih perlukan sebuah program pemilikan kenderaan yang mudah dan ringkas.

Ia masih menawarkan nilai terbaik dari program langganan kenderaan dan tetap menawarkan keanjalan penuh bagi pelanggan untuk memilih pakej yang memenuhi keperluan spesifik mereka.

Dari sudut lain, kelihatannya ada permintaan yang semakin meningkat terhadap produk langganan servis menyeluruh oleh syarikat untuk memenuhi keperluan terhadap barisan armada kenderaan yang semakin bertambah.

Direka untuk syarikat-syarikat yang tidak mahu terlalu terbeban dengan aset serta urusan pentadbirannya, KINTO ONE Business sebuah penyelesaian terbaik untuk membantu syarikat memperbaiki pengurusan operasi mereka.

Sama seperti KINTO ONE, syarikat kini boleh melanggan KINTO ONE Business untuk kenderaan kegunaan komersial.

Ini tidak hanya akan membantu syarikat terlibat menguruskan armada barisan kenderaan mereka dengan lebih mudah, ia juga akan memberi kelegaan fikiran kerana akan menjaga segenap hal berkaitan kenderaan terbabit sepanjang tempoh langganan itu.

Model yang terlibat bagi langganan KINTO ONE ini termasuklah model popular dari Lexus dan Toyota serta Toyota Hilux dan Hiace. Senarai inventori berserta harga langganan ada di www.kinto-my.com.