Penerima faedah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) terus cemerlang dengan masing-masing memperoleh 33 peratus dan 42 peratus lulus untuk Tahap 1 dan 2 dalam peperiksaan Chartered Financial Analyst (CFA) yang dijalankan pada bulan Mei tahun ini.

Kejayaan ini dicapai walaupun kadar kelulusan CFA dicatat rendah di peringkat global iaitu
25 peratus untuk Tahap 1, paling rendah sejak peperiksaan pertama pada tahun 1963 dan
40 peratus untuk Tahap 2 iaitu yang paling rendah dalam tempoh sedekad.

Empat daripada penerima faedah Peneraju Profesional CFA berada di kedudukan 10% teratas iaitu; Muhammad Amin Rali, 27, Amira Syahira Ahmad Shamsul Baharin, 26, Muhammad Hanif Akmal Abdul Rahman, 27 dan Muhammad Haneef Zuleffendi, 30
walaupun terkesan akibat wabak COVID-19 global yang turut mempengaruhi keputusan dan peperiksaan CFA di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Kolonel Bersekutu (PA) Ts. Mohd Muzzammil Ismail, berkata walaupun beberapa pelajar berjaya lulus tetapi kebanyakannya benar-benar terkesan seperti yang diperlihatkan pada kadar lulus keseluruhan untuk Tahap 1 dan 2.

“Yayasan Peneraju bangga dengan ketabahan mereka yang tetap mahu meneruskan untuk mengambil peperiksaan mengikut jadual yang telah ditetapkan walaupun mereka diberi keizinan oleh CFA Institute untuk menangguhkan peperiksaan mereka dari Mei 2021 ke November 2021.

“Kami teruja dengan keputusan yang dibuat oleh mereka kerana mereka berada di kedudukan 10% teratas pada Tahap 2. Selain itu, kedua-dua tahap mencatatkan kadar
kelulusan yang lebih tinggi berbanding keputusan di peringkat global,” katanya.

Yayasan Peneraju adalah badan penaja utama yang melahirkan lebih ramai CFA Bumiputera di Malaysia dan setakat ini telah dan sedang membiayai hampir 500 pemegang/bakal pemegang tauliah sejak program ini ditawarkan pada 2013.

Sementara itu, penerima faedah Yayasan Peneraju lain di bawah skim pembiayaan baharu di bawah teras Peneraju Profesional juga telah memperoleh keputusan peperiksaan yang
memberangsangkan sepanjang suku tahun kedua.

Pensijilan-pensijilan baharu tersebut merangkumi Certified Internal Auditor (CIA) dengan kadar kelulusan 53 peratus, Certified Syariah Advisor (CSA) dengan kadar kelulusan 100 peratus, Certified Syariah Practitioner (CSP) dengan kadar kelulusan 86 peratus, Chartered Banker (CB) dengan kadar kelulusan 33 peratus dan Chartered Institute of Marketing (CIM) dengan kadar kelulusan 100 peratus.

“Penerima faedah kami masih mampu mencapai keputusan yang membanggakan walaupun
berdepan cabaran ketika pandemik, terutama apabila mereka perlu mengikuti kelas dan
mengambil peperiksaan secara dalam talian dari rumah.

“Mereka berjaya melakukan yang terbaik walaupun menghadapi cabaran dan kami bangga
dengan pencapaian mereka. Kami berharap kejayaan mereka ini akan mendorong yang lain
untuk berusaha lebih keras kerana anda sebenarnya mampu memperoleh hasil yang
diinginkan jika anda beriltizam untuk mencapainya,” katanya.

Yayasan Peneraju adalah inisiatif yang memfokuskan pada pembinaan dan pengukuhan
keupayaan bakat Bumiputera ke arah kelestarian yang lebih kukuh.

Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Yayasan
Peneraju telah diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat
Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan
TVET, profesional, teknologi dan spesialis.

Agensi ini telah merealisasi aspirasi lebih 39,000 penerima faedah dari seluruh Malaysia melalui lebih 350 program pembiayaannya, dengan pengagihan peruntukan sebanyak RM860.7 juta dalam tempoh sembilan tahun.