Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) memperkenalkan aplikasi mudah alih tiga dalam satu untuk memudahkan orang ramai mendapatkan informasi terkini dan perkembangan semasa dari dalam dan luar negara hanya di hujung jari.

Aplikasi ini merangkumi perkhidmatan BERNAMA Wires, BERNAMA TV dan BERNAMA Radio.

Pengenalan aplikasi ini selaras dengan matlamat BERNAMA untuk menjadikan berita dan maklumat mudah diperoleh dari seluruh pelosok dunia.

Aplikasi BERNAMA boleh dimuat turun dari Google Play Store bagi pengguna Android dan BERNAMA News dari Apple App Store bagi pengguna IOS.

Antara ciri-ciri aplikasi ini ialah:

1. Penstriman langsung BERNAMA Radio dan podcast
2. Penstriman langsung YouTube BERNAMA TV dan klip video terpilih
3. Infografik
4. Segmen Berita termasuk Berita Utama

Pengenalan aplikasi baharu ini adalah sejajar dengan kemajuan dan inovasi yang ingin diperkenalkan BERNAMA, agensi berita terunggul dan terulung di Malaysia, yang kini telah mencecah usia lebih 54 tahun.

Ia juga sejajar dengan era Revolusi Industri 4.0, teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) selain selari dengan matlamat BERNAMA mengikut Akta BERNAMA 1967 yang antara lain ialah, “…untuk melaporkan secara benar dan patut, tanpa menjejaskan kepentingan awam dan negara, pandangan semua golongan penduduk Malaysia.”

Pengenalan aplikasi baharu ini juga selaras dengan hasrat BERNAMA untuk memasyarakatkan maklumat dengan memanfaatkan kemajuan dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi terkini.

Kehadiran aplikasi baharu ini dapat memantap dan memperkukuhkan lagi jenama BERNAMA sebagai sumber berita yang pantas, sahih dan diyakini.