Volvo Car Malaysia hari ini secara rasmi mengalu-alukan pelantikan Charles Frump sebagai Pengarah Urusan yang baru menggantikan Nalin Jain, yang sebelum ini memegang jawatan Pengarah Urusan dari tahun 2019 hingga 2020.

Frump akan meneruskan tanggungjawab Jain dalam mengawal selia keseluruhan operasi syarikat dan memacu visi elektrifikasi Volvo di Malaysia.

Frump menyertai Volvo Car Malaysia dari Volvo Auto India, di mana beliau telah berkhidmat
sebagai Pengarah Urusan sejak tahun 2017 dan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan bahagian pasaran dan pendapatan Volvo dalam segmen kereta mewah yang kompetitif di India.

Hubungan Frump dengan Volvo Cars bermula pada tahun 2009, di mana beliau berkhidmat
sebagai Pengarah Pemasaran di Volvo Car Japan.

Berbekalkan lebih dari 20 tahun pengalaman automotif dalam pasaran berbeza dan unik di seluruh Asia, Amerika Syarikat dan Eropah, Frump juga memain peranan di peringkat global, serantau, dan tempatan dalam bidang Pemasaran, Jualan, Perkhidmatan Pelanggan dan Pengurusan Rangkaian.

Charles Frump  berkata: “Saya teruja untuk memulakan babak baru perjalanan saya dengan Volvo di pasaran baru.

“Saya melihat Malaysia sebagai persimpangan kepada tempat-tempat yang pernah saya lalui, dan saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan pasukan tempatan secara individu untuk membina kekuatan kami.”

Pelantikan Frump adalah susulan daripada pengumuman global Volvo untuk menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya pada tahun 2030. Baru-baru ini, Volvo Cars melancarkan kempen ‘Ultimate Safety Test’ untuk mengisytiharkan perubahan iklim sebagai cabaran keselamatan terbesar yang dihadapi manusia hari ini.

Dalam dunia di mana penumpang tempat duduk belakang hari ini adalah pemandu pada masa depan, Volvo berusaha untuk mewujudkan planet yang lebih selamat dan lestari dengan masa depan yang serba elektrik.

Sebagai manifestasi komitmennya terhadap kelestarian dan elektrifikasi di Malaysia, Volvo Car Malaysia telah mengelektrifikasi kenderaan mereka sepenuhnya pada bulan Februari dengan pelancaran XC40 PHEV dan menjadi jenama automotif pertama di negara ini yang mempunyai barisan PHEV lengkap untuk semua model kereta.

Ketika syarikat ini berusaha menuju masa depan yang lebih lestari, Frump juga akan memainkan peranan penting dalam mengemudi Volvo Car Malaysia sebagai peneraju kenderaan elektrik premium di Malaysia.

“Masa depan adalah elektrifikasi – ini adalah sesuatu yang sangat kami percayai. Anak-anak hari ini akan menjadi pemandu pada masa depan, dan mereka sedang membesar dalam persekitaran di mana perubahan iklim dan pemanasan global menjadi masalah utama yang akan mereka hadapi.

“Untuk memastikan mereka mempunyai planet yang selamat dan hijau untuk hidup, kami berusaha untuk mengurangkan jejak kitaran karbon untuk setiap kereta secara konsisten melalui tindakan konkrit, itulah sebabnya kami memindahkan seluruh portfolio kenderaan kami kepada elektrifikasi.

“Kami berharap dengan berbuat demikian, kami juga dapat membantu pelanggan kami mengambil langkah aktif dalam kelestarian bersama,” kata Frump.

Frump memiliki ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pemasaran Antarabangsa dari UCLA Anderson School of Management, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Beliau menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang ekonomi dan matematik dari St. Olaf College, Minnesota, Amerika Syarikat.

Frump adalah peminat sukan dan gemar bermain hoki ais. Beliau gemar menjelajah ke negara baru setiap tahun dengan isterinya, tetapi masih mendapati dirinya kembali ke Jepun dan Sepanyol berulang kali sebagai destinasi pelancongan kegemarannya sepanjang masa.