Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, ibadah korban di Kemboja diteruskan pada tahun ini walaupun jumlahnya tidak sampai 10 ekor lembu dan kambing.

Beliau berkata, ibadah korban kali ini yang mendapat penyertaan daripada masyarakat Islam di Malaysia memberi manfaat kepada beberapa buah kampung pedalaman di Kemboja termasuk Sekolah Tahfiz Darul Iman di kampung sempadan Kemboja dan Vietnam.

“Walaupun saya sudah hampir 2 tahun tidak dapat ke luar negara kerana wabak pandemik COVID-19 yang melanda dunia, usaha tetap dijalankan untuk membantu golongan yang memerlukan di negara berkenaan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dan reda kerana dapat melaksanakan ibadah korban bagi masyarakat Islam dengan dagingnya diagihkan kepada fakir miskin dibeberapa kampung mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan negara itu,” katanya.

Justeru, pihaknya berharap orang ramai khususnya masyarakat Islam di negara ini terus memberikan sokongan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan di negara yang mana penduduk Islamnya adalah minoriti.