Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan model utamanya, Arteon R-Line 4MOTION baharu secara dalam talian.

Mendefinisikan kesenian sebuah kenderaan, Arteon baharu tampil menyerlah dengan gayaan menarik – rekaan hud “clamshell” tersendiri menurun ke arah gril krom dan hadir
bersama garis lampu serta sepasang lampu utama LED dan corong pengambilan udara baharu.

Pada bahagian belakang, kluster lampu LED memberi karekter kepada rekaan belakang Arteon yang bercerun. Penampilannya ditingkatkan lagi dengan gayaan R-Line yang
kini dipasang dengan logo R yang baru.

Arteon merupakan sebuah fastback serba boleh kerana ia menawarkan fleksibiliti bagi memenuhi keperluan pemanduan yang berbeza. Inilah model Volkswagen yang membolehkan pemandu menikmati pemanduan sporty atau perjalanan jauh sama ada berseorangan atau bersama keluarga.

Kontur badan menyembunyikan prestasinya yang mengagumkan. Jentera ini dijana oleh enjin 2.0L TSI turbo yang mampu menghasilkan kuasa 280PS dan tork 350Nm.

Dipadankan dengan kotak gear direct shift klac berkembar basah DSG 7-kelajuan, fastback ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat.

Ia menawarkan pengendalian luar biasa menerusi sistem pacuan semua roda 4MOTION yang menyalurkan kuasa ke roda belakang apabila perlu untuk memberi cengkaman dan kawalan lebih baik di atas jalan. Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.4l/100 km.

Ruang dalaman Arteon baharu yang luas nyata elegan dan sporty, lengkap bersama kemasan perak R-Line dan stereng baharu. Ciri untuk pemandu juga inovatif, intuitif dan boleh diubahsuai.

Semua maklumat boleh diakses dengan mudah menerusi Digital Cockpit dan sistem infohibur Discover Pro yang kini menawarkan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Sistem audio premium Harman Kardon 700-watt menyempurnakan lagi ruang dalamannya yang mewah dengan 12 unit pembesar suara yang memberikan kualiti akustik terbaik.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter menyatakan rasa gembira di atas maklum balas yang diterima oleh Arteon sejak dilancarkan tahun lalu.

“Arteon sememangnya sebuah kereta paling cantik dalam rangkaian model kami. Ia bukan sahaja kelihatan cantik, malah menawarkan prestasi mengagumkan dan binaan ruang dalaman yang elegan. Lebih menarik lagi, ia ditawarkan dengan pengecualian cukai.

“Saya yakin bahawa Arteon R-Line 4MOTION baharu akan menjadi model paling laris kerana ia benar-benar unik dan tiada yang sepertinya di pasaran sekarang.”

Tempahan Arteon baharu sudah boleh dibuat di eShowroom yang dibuka 24 jam dan boleh diakses bila-bila masa. Seorang wakil daripada pengedar akan menghubungi dan membuat temu janji yang selari dengan SOP kerajaan dan iniatif #SafeHands Volkswagen.

Luaran

Dengan reka bentuk luaran dan garis badan tersendiri, Arteon baharu tampil berani. Garis badan yang beralun pada keseluruhan kereta, memberikannya penampilan cukup dinamik dan mantap.

Dilengkapi sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu hadapan itu juga dipasang dengan ciri Dynamic Cornering Lights. Lampu belakang LED 3D hadir bersama lampu isyarat membelok secara berturutan.

Arteon juga dilengkapi ciri All Weather Light untuk memberikan iluminasi lebih luas bagi meningkatkan pandangan ketika cuaca buruk dan cahaya kelam.

Dalaman

Rekaan luaran Arteon yang bergaya dipadankan bersama ruang dalaman yang cukup menawan. Tempat duduk ErgoComfort dibalut dengan sempurna oleh kulit Nappa Carbon.

Pemandu turut ditawarkan dengan pilihan 14 larasan dan fungsi urutan untuk memberi lebih keselesaan ketika memandu.

Sistem bunyi premium Harman Kardon hadir bersama 12 unit pembesar suara. Ia menawarkan kualliti akustik terbaik dalam empat mode – Pure, Chill Out, Live dan Energy. Suasana mewah ruang kabin ditingkatkan dengan lampu ambien bersama pilihan 30 warna yang boleh dilaras kepadatannya.

Pengalaman Pemanduan yang Personal

Pemandu boleh mengubah suai pemanduan mereka melalui ciri Dynamic Chassis Control (DCC) dengan 15 pilihan peningkatan dan lima mode pemanduan berbeza – Eco, Comfort, Normal, Sport and Individual.

Ketersambungan

Ciri digital pada Arteon tampil sempurna dengan ruang dalamannya yang mewah. Di belakang stereng, terdapat paparan Digital Cockpit bersaiz 11.7” yang memaparkan maklumat penting apabila diperlukan.

Pemandu boleh mengakses maklumat pemanduan menerusi enam pilihan skrin dan lebih 30 gabungan, ini termasuklah navigasi 2D dan 3D serta paparan peta penuh 100%.

Sistem infohibur Discover Pro bersaiz 9.2 inci hadir bersama kawalan suara dan gestur. Ia juga menyokong ketersambungan App-Connect dengan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar. Skrin sentuh itu juga menawarkan ciri pandangan terpisah yang boleh diubah suai.

Fungsi-fungsi utama boleh diakses dengan mudah oleh pemandu. Aspek ketersambungan tersebut ditambah baik menerusi butang sentuhan haptik pada stereng yang memberi maklum balas tepat.

Sistem pendingin hawa ‘Climatronic’ 3 zon baharu juga boleh dikawal menerusi sentuhan pada panel kawalan.

Keselamatan

Aspek keselamatan tidak pernah diambil ringan. Sebab itulah Arteon dilengkapi rangkaian bantuan pemandu untuk melindungi penumpang.

Ini termasuklah ciri Lane Assist, Side Assist dan Driver Alert system bagi memastikan setiap perjalanan kekal selamat.

Ciri Rear Cross Traffic Alert memberi amaran objek yang mendekat dalam sudut 180 darjah, pada jarak sehingga 50 meter dengan kelajuan mencecah 12km/j ketika kereta diundur.

Sistem 360° Area View Arteon menggunakan empat unit kamera yang diletakkan secara strategik untuk memberikan pandangan 360°. Ini membolehkan pemandu melihat kawasan keliling untuk memudahkan urusan memarkir kenderaan.

Paparan Discover Pro juga boleh diubah suai sama ada pandangan penuh atau terpisah.
Ciri-ciri keselamatan bertaraf dunia lain yang ada pada Arteon baharu termasuklah Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kali kedua.

Intelligent Crash Response System (ICRS) pula mengambil langkah awal ketika kemalangan dengan menyekat saluran bahan api, membuka pintu dan menyalakan lampu amaran.

Manakala Electronic Different Lock (XDS) menambah baik aspek cengkaman dan
mengurangkan masalah understeer.

Ciri keselamatan standard pada Arteon baharu ialah seperti Electronic Stability Control (ESC), sistem brek anti-kunci (ABS), Brake Assist (BA) dan Active Bonnet untuk melindungi pejalan kaki.

Sistem Pemantauan Tekanan Tayar berperanan memantau tekanan setiap tayar, sementara
ciri Manoeuvre Braking akan menekan brek secara automatik apabila ia mengesan objek pada kelajuan sehingga 10km/j.

Ruang dan Kemudahan

Sebagai sebuah jentera fastback, Arteon baharu menetapkan standard apabila berbicara tentang ruang. Ketika tingkap tanpa bingkai memberi gayaan tipikal sebuah grand tourer, pintu belakang dengan engsel di bahagian atas membolehkan bukaan optimum kepada ruang but yang luas.

Bukaan pintu yang luas itu menawarkan ruang mencecah 563 liter, terbaik dalam kelasnya. Sebagai tambahan, ciri Easy Open and Easy Close membolehkan but dibuka tanpa sentuhan tangan dan but ditutup lebih perlahan.

Ini membolehkan pemandu untuk mengeluarkan barangan menggunakan kedua-dua belah tangan dengan lebih mudah.

Warna

Arteon baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna metalik iaitu kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna mutiara; hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).

Harga

Arteon baharu Arteon R-Line 4MOTION ditawarkan pada harga bermula RM247,670.97 dengan pengecualian cukai jualan. Ia hadir bersama penyelanggaraan percuma selama 3 tahun, serta jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.