Oleh Adam Salleh (penganalisis hiburan dan bekas editor Harian Metro)

“ Sinaran matamu
Melahir harapanku
Sentuhan tanganmu
Bererti bagiku
Senyuman dan tawamu
Cahaya di kegelapanku
Oh Benjy
Dikau kasih hatiku”

Mendayu-dayu Azean Irdawaty mengalun lagu Benjy didedikasikan buat anak sulungnya, Benjy. Jarang penyanyi baru berpeluang menyanyikan lagu dicipta khusus buat anak sendiri.

Kalau pun ada cuma P.Ramlee dengan lagu Anakku Sazali dan A.Ramlie & Maria Bachok dengan lagu Intanku Liana. Bezanya Sazali dan Liana tidak mengikuti jejak ibu bapa mereka di bidang seni, berbanding Khaeryll Benjamin atau Benjy ini darah seniwati ibunya itu mengalir di tubuhnya sehinggalah ke akhir hayat.

Lagu Benjy yang popular awal 80-an adalah refleksi emosi Azean betapa kehadiran Benjy itu terapi untuknya lebih tabah mengharungi dunia hiburan.

Sebelum bertemu jodoh dengan Karl (Khairil Anwar Rashidi) Azean melalui pahit getir anak seni, sibuk di lokasi dan di studio rakaman.

Hubungan baik Azean dengan Raja Ismail Raja Saat dan isterinya Aspalela Abdullah, acapkalilah Benjy ditinggalkan di rumah pasangan artis itu di Kampung Baharu kerana sibuk dengan aktiviti seninya.

Ketika usia Benjy sembilan tahun, kedua-dua beranak ini digandingkan buat pertama kali dalam filem Perempuan arahan Ida Farida pada 1987.

Cumanya dalam filem terbitan Amir Communication itu, Benjy tidak menjadi anak Azean (watak Marni), sebaliknya menjadi anak madunya, Izzaidah Khairan (Normala). Biarpun pertama kali beraksi di layar perak, Benjy memperlihatkan bakat semulajadi.

Seniwati Izzaidah Khairan (Izzie) ketika dihubungi berkata, pertama kali berlakon di samping Azean rasa teruja kerana status Azean sebagai Pelakon Wanita Terbaik Pesta Filem Malaysia Pertama dan Ketiga (1980 & 1982). Keterujaan itu membara kerana Benjy akan menjadi anaknya dalam filem itu.

“Biarpun Benjy budak ketika itu tetapi disiplin dia sama seperti ibunya. Masuk set, sudah bersedia, skrip dah hafal dan karektor sudah faham. Tiada masalah saya berlakon dengan Benjy ketika itu.

“Cuma sekali sahaja saya lihat Azean yang saya panggil kak itu bercakap dengan Benjy di set. Selebihnya Benjy buat sendiri. Dia faham dengan wataknya walaupun dia baru berlakon,” katanya.

Istimewanya Benjy dalam hidup Azean hinggakan mahu menamparnya dalam lakonan pun Azean tidak sanggup. Momen itu terjadi dalam telefilem Tahiyat Terakhir arahan Murali Abdullah, bilamana ada babak memerlukan Azean menampar Benjy yang menjadi anaknya kerana terjebak najis dadah.

Menurut Murali, tindakan Azean tidak mahu menampar Benjy membuatkan pihak produksi terkejut kerana selama ini seniwati itu terkenal di kalangan pengarah sebagai pelakon serba berkebolehan.

“Adegan itu tidak dapat saya jalankan segera kerana Azean tidak sanggup. Benjy pula bersedia ditampar bagi menghidupkan wataknya itu. Saya memujuk Azean sejam lebih, sehinggalah ke tahap saya meninggi suara dan Benjy pula memujuk ibunya, barulah Azean lakukan adegan tampar itu.

“Melihat reaksi wajah Azean ketika itu, saya sedar dia begitu menyayangi Benjy. Saya beruntung dapat bekerjasama dengan dua pelakon anak beranak yang memahami method acting.

“Saya tidak lupa dalam sesi membaca skrip, Benjy datang tanpa membawa skrip. Wataknya sudah dihafal. Sebagai pengarah saya bertambah kagum kerana Benjy boleh mengupas secara terperinci kepada saya bagaimana perwatakan seorang penagih dan pengedar dadah itu,” katanya.

Biarpun empat tahun tidak terbabit dalam lakonan selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, pada 18 April 2017, tetapi impak lakonan ditinggalkan Benjy membuatkan ramai penggiat seni berkongsi ciapan di laman social masing-masing.

Pelakon Fizo Omar menyifatkan kehilangan Benjy satu kehilangan besar buat industri hiburan.

“Seorang pelakon idola saya yang sangat berbakat besar. Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Pelakon Azlan Komeng menulis,” Berehatlah teman, sudah lelah dunia buatmu. Semoga Allah merahmahtimu.”

Pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim berkongsi gambarnya dengan Benjy dengan catatan,” Al-Fatihah buat sahabatku. Tersemat segala kenangan dan kebenaran buatku abadikan.”

Wartawan The New Straits Times Press (NSTP), Dennis Chua Eow Seong mencatat di Facebook,” A good son and greet Malaysia gone too soon. RIP may the wonderful story of this wonderful mother and wonderful son be told to generation to come.”

Wartawan veteran, Hasnifalina Rosli pernah menangis menonton drama lakonan Benjy.

“Ketika Benjy ditahan di Medan saya sedih. Dan sewaktu Seniman melawatnya dan saya dapat tahu Benjy menghidap asma, saya harap agar persatuan itu dapat buat sesuatu membantu Benjy.

“Jika saya jutawan pasti saya membantunya. Saya seperti dapat menyelami hitam putih kehidupannya. Kini berakhirlah sudah segala penderitaan ditanggung Benjy,” katanya.

Setiausaha Persatuan Seniman, Hafiz Nafiah ketika dihubungi kagum dengan ketabahan Benjy yang ditahan di negara orang terpaksa melalui ujian naik turun mahkamah sendirian.

“Cubalah kita letak diri kita di rantau orang tanpa keluarga dan rakan taulan di sini. Inilah yang kami fikirkan mengenai Benjy dan Seniman sempat ziarah Benjy di sana dua kali.

“Jika tidak kerana pendemik ini, Seniman akan melawat Benjy lagi tanda sokongan moral agar beliau terus bersemangat. Sudah takdir Benjy meninggal dunia di sana dan saya terasa sedih sebab menerima whatsapp terakhirnya minta kami doakan kesihatannya di sana,” katanya.

Benjy yang dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun di Penjara Tanjung Gusta, Medan, selepas didapati bersalah memiliki 4.5 gram dadah jenis methamphetamine.

Pelakon berbakat besar ini menghembus nafas terakhir di Hospital Royal Prima, Medan, pada 11 Julai lalu akibat sesak nafas kesan penyakit kroniknya, asma. Jenazah tiada jangkitan Covid-19 selepas disahkan Rumah Sakit Bhyangkara Brimob dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta Medan pada keesokkannya.

Benjy yang penulis kenali sejak kanak-kanak, adalah insan yang menghormati orang tua. Kasihnya kepada ibu, ayah dan dua adik tirinya, Elza Irdalynna dan Innesa Irdayanty tidak berbelah bagi.

Bagaimanapun, sejak Azean dikesan menghidap kanser pada 2008, berlaku perubahan emosi terhadap Benjy. Dan dunia hiburan dikejutkan dengan penahanan pelakon itu pada 11 Mac 2010 bagi membantu siasatan penemuan makmal memproses dan membungkus dadah di sebuah unit kondominium disewanya di Jalan Segambut. Tiga kali Benjy ditahan berkaitan dadah di tanah air.

Benjy pernah berkahwin dengan  Safiya Stephanie Kar-Leng tetapi bercerai dan dikurniakan seorang anak. Apa juga kata nista masyarakat terhadap Benjy, bagi Azean puteranya itu raja di hatinya. AL-FATIHAH- moga rohnya dicucuri rahmat.

“Meskipun dunia
Memandangmu hina
Bagiku engkaulah
Raja yang bertahta
Seluruh hidupku
Berbakti hanya untukmu
Oh Benjy
Kau ilham impianku
Kaulah harapanku”