Fasiliti Baharu Adient Dengan Teknologi Pengeluaran Busa Terkini Pertama Dalam Sektor Automotif Terima Pengiktirafan Industri.

Adient Automotive Seating Sdn Bhd (Adient), anak syarikat Adient PLC (NYSE: ADNT), pemimpin global dalam tempat duduk automotif, baru-baru ini mengumumkan bahawa kilang busa terbaharunya di Alor Gajah, Melaka telah mula mengeksport penyandar kepala ke Thailand dan Indonesia.

Kilang baharu bernilai RM10 juta ini dilengkapi dengan teknologi pengeluaran busa terkini untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan dan juga eksport.

“Sejak 1983, kami telah melabur secara konsisten untuk meningkatkan dan menggandakan keupayaan dan kemampuan operasi pembuatan kami di Malaysia dan dengan kilang busa baharu kami di Alor Gajah, kami mempertingkatkan lagi operasi menjadi sebuah hab eksport ke rantau Asia Tenggara.

“Menerusi inisiatif ini, kami akan menggalakkan penghasilan komponen di dalam negara, membangunkan keupayaan pembekal tempatan, dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan hasil eksport bagi Malaysia dan penduduknya.

“Memanfaatkan amalan terbaik global Adient, kami berusaha membawakan pengalaman pemanduan kenderaan yang paling selamat, selesa dan menghiburkan, yang benar-benar prihatin terhadap insan dan menyantuni bumi kita,” kata Pengarah Urusannya, AJ Dabydin.

Tanggungjawab Adient terhadap alam sekitar menjadi teras strategi operasi kilang busa baharu di Alor Gajah, dengan perlaksanaan sistem pengumpulan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air perbandaran dan pemasangan panel solar untuk menjana tenaga elektrik untuk memacu pelbagai peralatan.

Kilang ini juga dilengkapi peralatan rendah emisi karbon yang mendapat penarafan tenaga lima bintang, dan menggunakan lampu LED di seluruh kilang dan menguruskan risiko berlandaskan sistem pengurusan alam sekitar dan pensijilan yang berkenaan, seperti ISO14001.

Usaha menerima pakai konsep Industri 4.0 dengan automasi dan teknologi pintar merupakan satu lagi pertimbangan penting dalam strategi pembuatan Adient. Dengan pelaksanaan Sistem Pembuatan KAPP yang pertama di Malaysia, kilang ini mampu mengumpulkan data pengeluaran yang besar daripada pelbagai peralatan secara langsung di kilang dan juga dari jarak jauh.

Syarikat juga menggunakan kaedah analitik visual untuk menambah baik hasil pada kali pertama, lantas mengurangkan kecacatan dan pembaikan produk, dan mengenal pasti punca isu-isu yang mungkin timbul secara pantas, menerusi peta haba.

Dabydin berkata walaupun pendekatan bertumpukan teknologi diguna pakai, kakitangan kami tetap menjadi asas kepada reka bentuk automasi. “Kami perlu melatih semula dan meningkatkan lagi kemahiran pekerja untuk mewujudkan interaksi manusia-mesin yang lebih berkesan dan memastikan mereka selamat menerusi susun atur kilang yang membenarkan penjarakan fizikal satu meter dan laluan logistik yang dirancang dengan teliti,” katanya.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlangnya kepada ekonomi Malaysia dalam penggunaan teknologi busa inovatif dan lestari, serta pelaksanaan amalan terbaik dalam bidang pembuatan, kilang Adient di Alor Gajah baru-baru ini muncul sebagai pemenang dalam kategori Perkhidmatan Automotif di Anugerah Perniagaan Antarabangsa Malaysia 2021 anjuran SBR.