Bagi menyokong pengumuman Perdana Menteri Malaysia pada 28 Jun 2021 berhubung pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH); serta susulan kenyataan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) semalam, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menawarkan moratorium selama enam bulan untuk pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MPKS) yang terjejas akibat pandemik berterusan ini.
Permohonan akan dibuka bermula 7 Julai 2021. Bank kini membantu 5,251 pelanggan individu dan MPKS dengan jumlah pembiayaan tertunggak lebih RM888 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa pada 1 Jun 2021.
Jumlah ini termasuk 5,166 pelanggan individu dengan pembiayaan tertunggak bernilai lebih RM603 juta, manakala 85 permohonan melibatkan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM285 juta adalah di bawah segment MPKS.
Peka dengan cabaran yang dihadapi pelanggan, Bank akan meneruskan bantuan bayaran balik pembiayaan bagi mengurangkan impak pandemik COVID-19 kepada kelangsungan hidup mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, bank sentiasa komited memastikan pelanggan kekal berdaya tahan dalam tempoh yang tidak menentu ini.
Beliau berkata, pihaknya telah memperkenalkan pelbagai bentuk pakej bantuan bayaran balik pembiayaan sejak pandemik ini bermula dan ia bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan yang amat diperlukan dalam tempoh mencabar ini.
“Di bawah program bantuan bayaran balik yang bermula pada Ogos 2020, Bank telah membantu hampir 30,000 pelanggan individu dengan jumlah tertunggak sebanyak RM3.74 billion sehingga 18 Jun 2021, serta lebih 200 MPKS, melibatkan lebih RM670 juta.
“Industri perbankan Islam juga turut giat meningkatkan usaha menyokong segmen terkesan bagi menjamin kemampanan mereka sejak PKP mula diperkenalkan pada Mac 2020.”
“Kami sedar akan kesan sekatan pergerakan yang berterusan ke atas perniagaan pelanggan kami, terutamanya MPKS.
“Keutamaan kami kekal untuk mengurangkan kekangan kewangan pelanggan, terutama sektor yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP. Langkah signifikan diambil Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan Bantuan Bayaran Balik Bersasar (TRA) bagi membantu pelanggan dalam segmen terjejas adalah penting bagi meminimumkan kesan berikutan arahan sekatan pergerakan dan menjamin kebolehsampaian bantuan yang diperlukan kepada mereka.
“Melalui bantuan moratorium, pelanggan terkesan akan mempunyai tempoh enam bulan untuk memulihkan keadaan kewangan masing-masing,” katanya lagi.
Bank Islam sentiasa bersedia membantu menasihati pelanggan kami untuk membuat keputusan bermaklumat terbaik setiap masa serta untuk lebih berhati-hati dalam membuat komitmen kewangan yang tidak perlu, lebih-lebih lagi dalam situasi tidak menentu kini.
Selain TRA, Bank Islam turut menawarkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan yang terlibat dalam sektor perkhidmatan; dan Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PTF) bagi pelanggan dalam sektor pelancongan.

Baru-baru ini, Bank telah memperkenalkan Kemudahan Automasi & Digitalisasi PKS (ADF) bagi PKS yang memerlukan insentif untuk mengautomasi proses dan pendigitalan operasi supaya lebih cekap. Selain daripada bantuan bayaran mengikut keperluan, program penjadualan dan penstrukturan semula turut disediakan bagi pelanggan yang layak.
Di samping itu, Bank turut proaktif dalam membantu pengusaha mikro, terutama daripada kategori Asnaf dan B40. Pelancaran program iTEKAD dan Pembiayaan Mikro BangKIT bagi segmen pelanggan ini membuktikan sokongan Bank Islam kepada penyelesaian kewangan holistik.
Kemudahan-kemudahan ini direka bagi menyokong perusahaan mikro layak yang kurang menerima kemudahan perbankan untuk menjana pendapatan mampan. Ia boleh dilakukan melalui pelaksanaan program bimbingan yang betul hasil kerjasama dengan rakan strategik yang dipercayai. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat berkenaan iTEKAD dan Pembiayaan Mikro BangKIT di https://www.bankislam.com/business=banking/smebanking/itekad/ dan https://www.bankislam.com/corporate-info/social-finance-bank-islam/pembiayaan- mikro-bangkit/.
Bank Islam menyeru pelanggan yang memerlukan bantuan untuk menghubungi kami dan memaklumkan pilihan bantuan bayaran yang diperlukan. Bank memberi jaminan bahawa tiada dokumen diperlukan bagi pelanggan individu dan semua permohonan akan diberi kelulusan automatik sebaik sahaja diterima.
Bank Islam turut meyakinkan pelanggan bahawa rekod CCRIS mereka tidak akan terjejas sekiranya mereka memilih untuk mengambil bantuan bayaran balik yang disediakan.
Pelanggan individu boleh membuat permohonan secara dalam talian dan di cawangan. Pelanggan PKS boleh menghubungi Pengurus Perhubungan mereka atau emel ke [email protected] untuk memohon. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.bankislam.com atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26 900 900 atau [email protected]





































