Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan penuh pada 1 Jun 2021 di seluruh negara, UMW Toyota Motor telah menggantungkan sementara operasi pengilangan serta penjualannya.

“Beberapa minggu ini adalah tempoh mencabar untuk kita semua. Ketika menghadapi waktu sukar ini, kami di Toyota dan Lexus tetap bersama anda semua dalam solidariti untuk mengekang pandemik.

“Kami telah menangguhkan sementara semua perkhidmatan tidak penting. Dalam masa
sama, kami faham dalam keadaan tidak menentu ini, kami tetap boleh membantu dan
menyediakan sokongan.

“Untuk itu, kami akan tetap ada sekiranya kenderaan anda rosak atau dalam kecemasan dan memerlukan perhatian,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Tak lupa juga, semua kenderaan yang dibeli daripada UMW Toyota Motor atau pengedar sah kami dengan jaminan sedia ada yang sah serta akan tamat di dalam tempoh PKP ini, anda akan menikmati lanjutan tempoh berkenaan selama 30 hari, yang akan dikira dari hari terakhir PKP,” katanya.

Syarikat juga baru-baru ini mengumumkan bahawa jualan kenderaan Toyota dan Lexus di
Malaysia terus menunjukkan corak peningkatan, dengan keseluruhannya mencatatkan sebanyak 7,595 unit terjual sepanjang Mei 2021, atau melibatkan peningkatan 120% berbanding tempoh sama pada tahun 2020.

Jumlah berkenaan dipacu terutamanya oleh model-model seperti Vios sedan yang menyumbang 32% daripada jumlah jualan, diikuti Yaris hatchback lima-pintu (25%) dan trak pikap Hilux yang menyumbang sebanyak 21% bagi jualan pada Mei 2021.

Pertumbuhan yang dicatatkan itu menjadi petunjuk jelas kepada keyakinan pembelian oleh
pelanggan, dan mereka juga berlumba untuk memanfaatkan penjimatan tambahan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kini telahpun di lanjutkan hingga 31 Disember 2021.

“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengambil beberapa langkah dan campur tangan bukan sahaja untuk melindungi Malaysia daripada ancaman pandemik, tetapi juga di dalam memperkenalkan dasar kewangan serta industri untuk memastikan pandemik ini memberi kesan yang tidak terlalu parah terhadap ekonomi.

“Ini termasuklah lanjutan SST yang kami percaya akan terus menyumbang di dalam memulihkan keyakinan membeli dalam kalangan pelanggan,” kata Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Takeyama menambah bahawa kesan pandemik ini tidak boleh dijangka dan sukar diramal, tetapi pengenalan beberapa model baru sepanjang tahun ini yang digandingkan dengan insentif SST untuk pelanggan telah membantu industri automotif tempatan menghadapi badai ini dalam kedudukan yang kukuh.

Sementara itu, Ravindran K berkata, syarikat akan terus memberikan perkhidmatan
cemerlang kepada semua pelanggan dan terus memperkenalkan beberapa inisiatif yang
bertujuan untuk membantu memberikan penjimatan lebih banyak dalam keadaan seperti
sekarang.

“Kami ada di sini untuk anda. Ini satu usaha yang bukan sahaja perlu dipikul oleh kerajaan,
sebaliknya memerlukan kita semua serta keseluruhan pihak berkepentingan lain. Kami berterima kasih kepada semua pelanggan di atas sokongan berterusan dan untuk itu, kami akan terus memberikan sokongan kepada anda dalam keadaan yang mencabar ini,” katanya.