Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyeru semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) bernilai RM40 bilion hendaklah memastikan bantuan yang disalurkan itu disegerakan secara tuntas.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, sistem penyampaian dalam bentuk bantuan, agihan dan saluran kepada kumpulan bersasar dalam PEMERKASA Plus hendaklah komprehensif, sempurna dan efektif supaya pelaksanaan itu terkesan bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mendapat maklum antara perkara yang selalu dibangkitkan rakyat ialah kurangnya efesien dan birokrasi dalam melaksanakan segala bantuan ke peringkat rakyat jelata yang selalu diumumkan oleh Kerajaan Pusat.

“Kepantasan menyalurkan bantuan kepada akar umbi sangat dituntut pada masa ini selari dengan matlamat utama Kerajaan Pusat iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berterima kasih kepada sikap keprihatinan Kerajaan Pusat dan rakyat juga berterima kasih di atas segala bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.