Jumlah nilai eksport elektronik Taiwan mencecah AS$49.1 bilion meskipun dilanda pandemik pada 2020

Dalam usaha mempromosikan kerjasama perindustrian dalam bidang industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) antara Taiwan dan Malaysia, Brunei, New Zealand serta Australia, Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) memperoleh mandat daripada Kementerian Luar Negeri untuk menganjurkan Persidangan dan Seminar Online
Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik pada 25 Mei 2021.

Di samping penyertaan pemimpin industri ICT daripada negara berkaitan dan 20 pembeli berpotensi yang lain, persidangan berkenaan akan turut melibatkan 12 perniagaan ICT Taiwan terkemuka yang meraih Anugerah Kecemerlangan Taiwan.

Syarikat-syarikat berkenaan termasuklah: syarikat internet of things (IoT) dan aplikasi pintar Advantech, syarikat peralatan komunikasi rangkaian D-LInk, penyedia solusi pembelajaran dan pendidikan dalam talian AVer Information, penyedia solusi pemantauan pengawasan Vivotek dan penyedia solusi streaming video CyberLink yang telah mengendalikan lebih daripada 50,000 seminar secara dalam talian.

Industri ICT Taiwan sememangnya berada pada kedudukan yang unik untuk mengeksport pelbagai teknologi dan produk lantaran rangkaian bekalan yang meluas dan peluang industri yang serba lengkap. Biarpun kini pandemik COVID-19 terus melanda dunia, solusi integrasi pelbagai industri ditunjangi oleh teknologi penting seperti IoT, data besar dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) terus mempamerkan kemajuan.

Malah sistem ini akan terus mengubah gaya hidup dan operasi industri di pelbagai negara. Apatah lagi, industri ICT Taiwan sentiasa melakar pelbagai kemajuan biarpun negara berkenaan tidak terkecuali daripada penularan pandemik.

“Meskipun berhadapan dengan pandemik, jumlah nilai eksport elektronik Taiwan mencapai rekod sebanyak AS$49.1 bilion, sekali gus menandakan perkembangan tahunan sebanyak 15.4%,” kata Pengarah Taiwan Trade Center Inc. Kuala Lumpur, Eva Peng.

Beliau menambah, di antara Januari hingga Mac 2021, nilai eksport pula mencatatkan AS$17.9 bilion.

“Statistik berkenaan mewakili pertumbuhan sebanyak 31.2%, dibandingkan tempoh yang sama pada 2020. Menerusi ekonomi bebas dan ekosistem berkaitan yang terus berkembang, potensi industri berkenaan juga akan terus memperlihatkan pertumbuhan,” katanya.

Seminar ini akan membantu pembeli berpotensi dalam pasaran Asia Pasifik memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai industri ICT di Taiwan. Ini juga akan memberi ruang yang lebih luas kepada pembeli untuk mempromosikan produk yang berkaitan dari Taiwan ke pasaran Malaysia, Brunei, New Zealand, dan Australia.

Penganjuran seminar industri teknologi maklumat dan komunikasi dalam talian ini, diharapkan dapat mendorong pelaburan dan membina kerjasama antara industri teknologi maklumat dan komunikasi Malaysia dan Taiwan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Persidangan dan Seminar Online Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik, sila layari https://www.taitra.org.tw/