Dunia dikejutkan dengan serangan tanpa henti oleh regim Israel ke atas umat islam Palestin. Lebih menyedihkan lagi mereka diserang di Masjid Al-Aqsa pada ketika umat islam beribadah pada bulan Ramadhan.

Serangan demi serangan yang dibuat oleh regim Israel menunjukkan mereka sangat biadap dan tidak berperikemanusiaan.

NGO Antarabangsa berpendapat sudah masanya negara-negara Islam perlu bangkit membantu Palestin daripada pelbagai sudut antaranya bantuan perubatan, bantuan makanan, bantuan kewangan, bantuan sukarelawan dan lain-lain bantuan yang diperlukan oleh rakyat Palestin di sana.

Pengerusinya, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican menyeru NGO-NGO Islam di Malaysia dan negara-negara Asean bangkit membantu menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi saluran-saluran sah yang diwujudkan di negara masing-masing.

“Kita percaya apabila kita bersatu, usaha dan sumbangan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh saudara kita di sana dan bantuan serta sumbangan yang kita hulurkan amatlah bermakna kepada mereka di sana.

“Ini penting bagi memastikan segala bantuan dan sumbangan yang diberi sampai terus kepada sasarannya,” katanya.

Mustapha berkata, semua negara Islam di seluruh dunia perlu menyatakan pendirian yang tegas dan berani menentang kekejaman regim zionis Israel ke atas penduduk Palestin yang ditindas dan membantu meringankan beban rakyat Palestin.

Beliau berkata, bagi negara-negara bukan islam yang mempunyai penduduk beragama islam, mereka perlu mewujudkan bantuan khas untuk rakyat Palestin dan menyalurkan bantuan tersebut melalui saluran yang sah.

“Kesungguhan negara kita Malaysia, Indonesia dan Brunei haruslah dipuji dalam menyuarakan pandangan yang tegas terhadap kekejaman regim zionis Israel ke atas penduduk Palestin yang melanggar undang-undang antarabangsa termasuk hak asasi manusia yang dicabuli.

“Besarlah harapan kita semua, untuk melihat negara Palestin pulih dan bangkit kembali dari konflik peperangan yang tiada berkesudahan ini yang mana akibatnya rakyat Palestin menjadi mangsa diatas kancah peperangan yang berlaku,” katanya.

Katanya, isu Palestin merupakan isu kemanusiaan sejagat yang perlu diberi perhatian oleh semua negara-negara dunia. Justeru, kita menyeru keprihatinan semua negara-negara dunia bersatu atas nama kemanusiaan terhadap isu Palestin yang berlaku.