Jualan UMW Toyota Motor meningkat sebanyak 12.7% pada bulan April 2021 manakala Perodua mencatatkan penjualan sebanyak 20,399 unit pada April 2021

Kumpulan UMW terus mencatatkan jumlah penjualan kenderaan yang baik pada bulan April 2021 melalui UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutunya, Perodua.

Pelancaran model baru, kempen musim perayaan dan pengecualian cukai penjualan mendorong peningkatan permintaan dan penjualan kenderaan.

UMWT mencatatkan penjualan sebanyak 9,280 unit pada April 2021, 12.7% lebih tinggi berbanding 8,232 unit yang dicatatkan pada bulan Mac 2021. Peningkatan jualan disokong oleh permintaan yang tinggi bagi Toyota Corolla Cross dan Toyota Harrier yang baru dilancarkan.

Toyota Vios, Yaris dan Hilux terus menjadi model terlaris UMWT.  Toyota Fortuner dan Innova yang dikemaskini turut menyumbang kepada peningkatan penjualan bagi bulan April.

Bagi empat bulan pertama tahun ini, UMWT telah mencatatkan penjualan sebanyak 26,431 unit kenderaan, jauh lebih tinggi berbanding 10,596 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama tahun 2020 dimana jualan kenderaan terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama (PKP 1.0).

UMWT mensasarkan penjualan sebanyak 62,000 unit kenderaan bagi tahun 2021.

Ativa Varian X (kanan) vs Ativa Varian H (kiri)

Perodua mencatatkan penjualan sebanyak 20,399 unit pada bulan April 2021, lebih rendah daripada 24,431 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh kekurangan bekalan cip semikonduktor yang mengimpak industri automotif.

Walaubagaimanapun, permintaan terhadap Perodua Ativa yang dilancarkan pada 3 Mac tetap memberangsangkan dengan purata tempahan harian sebanyak 290 unit.

Perodua mencatatkan penjualan sebanyak 4,624 unit bagi model Ativa pada bulan April, menjadikan jumlah keseluruhan penjualan mencecah hampir 9,000 unit.

Bagi empat bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jumlah penjualan sebanyak 78,304 kenderaan, 73.9% lebih tinggi daripada 45,034 unit yang didaftarkan pada tempoh yang sama tahun 2020 dimana jualan kenderaan terjejas berikutan PKP 1.0. Perodua mensasarkan penjualan sebanyak 240,000 unit tahun ini.

UMW Grantt International Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar minyak pelincir GRANTT dan anak syarikat Kumpulan UMW baru-baru ini mengumumkan penajaan bagi tahun kedua bagi pelumba motosikal Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah.

Anas Nasrun (left) and Hafizh Syahrin

Penyambungan penajaan buat Hafizh Syahrin di kejohanan Moto2 untuk musim 2021 memberi kelebihan bagi semua pihak, serta secara tidak langsung dapat mempertingkatkan perkembangan sukan pemotoran di Malaysia.

Malah, ia juga merupakan platform bagi UMW untuk memperkenalkan minyak pelincir GRANTT di persada antarabangsa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata, “Kami bangga dengan penjualan kenderaan yang berterusan yang dicatatkan oleh UMWT dan Perodua.

Model yang baru dilancarkan telah diterima baik oleh pelanggan kami, mendorong kepada penjualan yang lebih tinggi dan juga jumlah pesanan yang memberangsangkan. Kami sedang melakukan yang terbaik untuk meningkatkan pengeluaran dan memastikan penghantaran yang tepat pada masanya kepada pelanggan-pelanggan kami.

“Walau bagaimanapun, kekurangan bekalan cip semikonduktor telah mempengaruhi jadual pengeluaran Perodua yang terus mengkaji kesemua sumber yang ada untuk menangani masalah ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan yang diberikan terhadap produk dan perkhidmatan kami,” katanya.