Pengerusi NGO Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain di pejabatnya, semalam.

Mustapha berkata Putrajaya merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Malaysia dan menjadi destinasi pelancongan yang popular dan sering menjadi tumpuan pelbagai pihak kerana reka bentuk bangunan yang unik, keindahan landskap, tarikan produk serta penganjuran acara-acara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, pada pertemuan tersebut pelbagai perkara dibincangkan seperti menarik pelancong dalam keadaan pandemik Covid-19 dengan mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Wilayah Persekutuan Putrajaya perlu kekal menjadi bandar bersih, selamat dan harmoni untuk kesejahteraan semua. Pada masa yang sama, Putrajaya perlu mengawal harga barang keperluan ini kerana ramai penduduk di sini khususnya penjawat awam terdiri daripada golongan yang berpendapatan sederhana.

“Umum mengetahui pintu sempadan negara masih belum dibuka disebabkan wabak pandemik Covid-19 yang yang berlaku.

“Adalah lebih baik pada ketika ini Perbadanan Putrajaya memberi perhatian untuk memulihkan kawasan tarikan pelancong sedia ada atau membangunkan kawasan yang baru yang boleh menarik orang ramai ke sini agar apabila sektor pelancongan sudah pulih seperti sediakala tempat-tempat ini terjaga dan dijamin daripada pelbagai aspek,” katanya lagi.