Pengerusi NGO Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, penyerahan bakul makanan ini adalah sebahagian daripada bakul makanan yang beliau perolehi sebanyak 500 kotak yang disumbang oleh Kedutaan Arab Saudi kepada NGO Antarabangsa.

Mustapha berharap agihan hampir 60 kotak makanan ini boleh membantu dan digunakan oleh kakitangan AeroDarat yang terkesan akibat penularan wabak pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

“Apa yang penting semua kakitangan AeroDarat perlu sentiasa bersatu padu dalam menjalankan tugas masing-masing disamping mematuhi garis panduan SOP yang dikeluarkan. Ini saja cara untuk kita memutuskan rantaian serta melindungi diri,” katanya di sini, hari ini.

Mustapha berkata, ini merupakan kali pertama beliau datang ke AeroDarat untuk menyerahkan bantuan yang disumbangkan Kedutaan Arab Saudi.

“Sebelum ini sumbangan yang diterima adalah kurma tetapi hari ini saya menyerah hampir 60 bakul makanan kepada kakitangan AeroDarat untuk kegunaan ketika Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Bakul makanan ini mengandungi barang-barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak, tepung dan lain-lain lagi keperluan asas.

Mustapha berkata demikian ketika menyerahkan bakul makanan sumbangan kedutaan Arab Saudi kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AeroDarat, Mohd Nadziruddin Mohd Basri di KLIA hari ini.

Mohd Nadziruddin merakamkan setinggi perhargaan atas usaha NGO Antarabangsa dan Kedutaan Arab Saudi yang membantu meringankan beban golongan kakitangan AeroDarat dan ada diantara mereka akan bertugas ketika Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Keutamaan kami adalah sentiasa menjaga kebajikan mereka walaupun waktu ini kita menghadapi pandemik COVID-19 hampir setahun lebih tetapi AeroDarat masih dapat mengekalkan kakitangan yang ada.

Mustapha berharap pada masa hadapan, kerjasama NGO Antarabangsa dengan pihak GLC, swasta dan Kerajaan perlu dirangka supaya pelbagai bentuk bantuan kepada golongan sasar dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Mustapha juga berharap syarikat swasta perlulah mencari suatu kaedah yang terbaik bagi mengekalkan kakitangan sedia ada pada waktu ekonomi yang sukar ketika ini seperti mana yang dilakukan AeroDarat.

“Walaupun syarikat menghadapi masalah, carilah kaedah terbaik bagi mengurangkan beban kewangan dengan berbelanja secara berhemat dan mengoptimumkan pendapatan.

“Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta demi memastikan ekonomi negara pulih dengan cepat,” katanya lagi.

Mustapha turut berharap, program-program bantuan ini diteruskan pada masa hadapan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.