Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu bekerjasama sesama NGO bagi mencapai sasaran bantuan yang betul kepada golongan yang memerlukan.

Ini bagi mengelakkan daripada bantuan yang diberikan tidak sampai kepada golongan yang sama atau golongan sasaran yang betul.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata demikian ketika mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Orang Kelainan Upaya (OKU) Sepang, Mohamad Nazri Basrawi.

Beliau berkata, masyarakat juga kena prihatin dan ahli perniagaan yang membuat lebihan dana boleh menderma kepada pertubuhan NGO yang berdaftar supaya mereka dapat menjalankan aktiviti kebajikan untuk kepentingan rakyat.

Mustapha juga berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan semua sumbangan kebajikan atas pertubuhan kebajikan yang berdaftar di negara ini diberikan perlepasan cukai.

“Dengan ini kita galakkan lebih ramai orang menderma dan banyak masalah yang dapat di atasi secara bijaksana malah cara ini juga boleh meringankan beban Kerajaan. Oleh itu, setiap NGO perlu mengatur dengan cekap dan mengenalpasti sasaran bantuan supaya tidak ada bertindihan.

“Setiap NGO juga perlu mempunyai sasaran rumah angkat masing-masing. Ini sekadar cadangan sahaja dan terpulang kepada NGO berkenaan untuk melaksanakannya tetapi yang penting adalah sasaran bantuan itu sampai kepada sasarannya,” katanya lagi.