Cabang teknologi pendidikan airasia Digital, Redbeat Academy mengumumkan kerjasama dengan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusannya untuk memupuk pengembangan bakat digital.

Kerjasama ini akan menerokai peluang, pengembangan, sokongan dan aktiviti penyelidikan termasuk pendidikan dan latihan dalam bidang teknologi yang akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak.

Ini termasuklah kerjasama untuk aktiviti-aktiviti akademik seperti latihan, pembelajaran jangka panjang, perbincangan akademik, seminar, persidangan, penyelidikan dan penyeliaan projek para pelajar, program akademik melalui pengesahan pembelajaran (micro-credential), perkongsian sumber penyelidikan, penyelidikan dan pembangunan bersama (R&D) untuk pembiayaan industri penyelidikan serta projek yang akan dikenal pasti pada masa hadapan.

 

Redbeat Academy dan APU juga akan menawarkan pengesahan pembelajaran (micro-credential) untuk pelbagai program yang akan dijalankan.

Presiden airasia Digital, Aireen Omar berkata, “Kerjasama dengan Asia Pacific University of Technology & Innovation adalah sejajar dengan aspirasi kami untuk terus mengembangkan inisiatif akademi dan membina saluran bakat yang mampan melalui pelaburan dalam program inovasi dan pendidikan.

“Baru-baru ini, kami telah memperkenalkan kursus ‘Byte-sized’ yang dapat memenuhi keperluan peribadi tertentu untuk para pelajar, usahawan, kakitangan dan sesiapa sahaja yang ingin mempelajari kemahiran digital baharu.

“Kami teruja untuk terus berganding bahu dengan universiti ini bagi memupuk bakat muda dan inovasi idea baharu yang akan mendorong visi Redbeat Academy.”

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Datuk Parmjit Singh berkata, “Kolaborasi strategik antara APU dan Redbeat Academy adalah sangat bermakna kerana ia mengukuhkan visi kedua-dua buah organisasi dalam membina tenaga pekerja yang lengkap dengan bakat digital untuk terus memacu ekonomi digital agar lebih maju bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.

“Sebagai institusi peneraju teknologi di Malaysia dengan visi untuk mengubah minda anak muda menjadi berdaya saing, bekerjaya dan profesional, APU komited dalam menjana bakat yang diperkasa oleh Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan gabungan unik teknologi, inovasi dan kreativiti.

Visi ini turut disokong oleh status kami sebagai Universiti Teknologi Digital Premier seperti yang disahkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

“Dengan fokus Redbeat Academy untuk menambah baik pengetahuan dan kemahiran digital melalui pusat teknologi sehenti, kepimpinan dan inovasi, kedua-dua organisasi berada di landasan yang tepat dengan memanfaatkan kekuatan satu sama lain untuk memberi impak yang besar dan menjadi pengganggu industri digital pada masa hadapan.”

Sejak penubuhannya, Redbeat Academy telah bekerjasama dengan Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) untuk membangunkan semula bakat dalam projek Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Tinggi (seperti blockchain dan data) serta Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya dan Asia School of Business yang bekerjasama dengan MIT Sloan Management, Imperial College London untuk memberikan pengesahan pembelajaran (micro-credential) bagi kursus Redbeat Academy dan memperakuinya sebagai sebahagian daripada Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Terdahulu (APEL).