UMW Grantt International Sdn. Bhd., pengeluar dan pengedar minyak pelincir GRANTT dan anak syarikat Kumpulan UMW mengumumkan penajaan bagi tahun kedua bagi pelumba motosikal Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah.

Sebagai sebahagian dari usaha untuk menyokong bakat tempatan, UMW GRANTT dengan rasa berbesar hati menyambung penajaannya terhadap Hafizh Syahrin untuk meneruskan perlumbaan di arena global.

Perjanjian penajaan itu telah ditandatangani oleh Anas Nasrun Mohd Osman, Pemangku Pengarah, Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan, UMW dan Hafizh Syahrin Abdullah.

Selaku satu-satunya pelumba Malaysia yang masih kekal bersaing dalam kejohanan yang berprestij ini bagi musim 2021, Hafizh Syahrin merupakan pesaing yang berbakat dan serius dalam arena sukan pemotoran.

Bagi kejohanan musim 2021, beliau menyertai pasukan NTS RW Racing GP, sebuah pasukan yang berpengkalan di Belanda dan berlumba menggunakan motosikal NTS.

Beliau pernah mewakili pasukan Monster Yamaha Tech3 (2018) dan KTM Tech2 (2019) bagi kategori MotoGP dan beralih ke kategori Moto2 bersama pasukan Aspar dan menamatkan kejohanan di kedudukan ke-21 secara keseluruhan pada tahun 2020.

Peminat sukan permotoran negara tidak berpeluang untuk menyaksikan Hafizh Syahrin bersaing di Sepang kerana kesemua perlumbaan yang dijadualkan di litar tersebut telah dibatalkan akibat pandemik COVID-19.

Penyambungan penajaan buat Hafizh Syahrin di kejohanan Moto2 untuk musim 2021 akan memberi kelebihan bagi kedua belah pihak, memandangkan ia bukan sahaja menyediakan sokongan kewangan kepada Hafizh Syahrin tetapi secara tidak langsung dapat mempertingkatkan perkembangan sukan pemotoran di Malaysia.

Malah, ia juga merupakan platform bagi UMW untuk memperkenalkan minyak pelincir GRANTT di persada antarabangsa.

GRANTT adalah produk UMW yang telah disahkan oleh Institut Petroleum Amerika (API), yang memenuhi piawaian antarabangsa di bawah Persatuan Pengilang Automobil Eropah (ACEA) dan Pertubuhan Piawaian Automotif Jepun (JASO).

“Kami sangat teruja kerana dapat bersama mengembangkan industri pemotoran di Malaysia.

Penajaan ini akan memberikan sokongan penuh kepada penyertaan Hafizh Syahrin untuk bersaing di kejohanan Moto2 bagi tahun 2021.

Pengalaman dan pencapaian Hafizh Syahrin akan memberikan kelebihan dan daya saing kompetitif kepada beliau untuk menjulang nama negara ke peringkat seterusnya dalam Kejohanan Dunia MotoGP.  Melalui penajaan ini, GRANTT dapat didedahkan di pasaran dalam dan luar negara,” katanya lagi.