Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang memberi amaran keras supaya budaya gangguan seksual hendaklah dihentikan serta-merta bermula dari peringkat sekolah dan sistem pendidikan di negara ini.

Ketua Wanita Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, sudah tiba masanya negara Malaysia sifar gangguan seksual yang boleh dikategorikan sebagai satu bentuk ugutan dan ancaman yang dilihat masih berakar-umbi dalam kalangan masyarakat kita. Budaya ini perlu dititknoktahkan ! 

Beliau berkata, kenyataan yang mengatakan ugutan rogol terhadap mangsa mungkin adalah satu gurauan oleh Timbalan Ketua Polis Negara juga amat dikesali.

“Ia seolah-olah pihak polis memandang ringan ugutan seksual terhadap seorang perempuan. Pihak polis perlu memandang serius ugutan seperti ini dan bukannya diremeh-temehkan.

“Pihak polis mempunyai moral kepolisan untuk menegakkan undang-undang dan memastikan gangguan seksual dititiknotaktahkan.

“Wanita UMNO dan Wanita BN Pulau Pinang bertegas bahawa Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan yang wajar berhubung isu gurauan seksual seorang guru jasmani yang mempersendakan jenayah seks dalam kelas. Kami mahu tindakan segera diambil pihak Kementerian Pendidikan dan pihak Polis DiRaja Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kenyataan Menteri Pendidikan bahawa perkara ini dalam siasatan polis dan enggan mengulas mengenai tindakan lanjut Kementerian seolah-olah mencuci tangan dalam kes ini.

Menurutnya, kementerian mempunyai kuasa untuk mendisplinkan guru berkenaan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.

“Kami juga mengulangi kekesalan terhadap perkara ini dan berdiri teguh bersama pelajar perempuan yang terlibat dan berani tampil untuk menegakkan martabat wanita.

“Sekiranya perlu, kami sedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada pelajar yang telah mengalami gangguan emosi dan trauma akibat kejadian gangguan seksual yang dianggap tidak masuk akal dalam budaya kita yang mengamalkan amalan Rukun Negara di negara ini,” katanya.

Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang berkata, gurauan yang membawa unsur seks tidak sama sekali boleh dibenarkan dalam sistem pendidikan negara lebih-lebih lagi antara guru dan pelajar di dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

“Kita tidak harus membiarkan kejadian seperti ini berulang di mana-mana institusi pendidikan kita.

“Kementerian Pendidikan perlu bertindak tegas dengan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang memandang ringan kejadian seperti ini termasuk guru yang menggunakan gurauan seks dalam mana-mana proses pengajaran dan pembelajaran.

“Budaya yang mendiskriminasikan wanita dan perempuan perlu dikikis daripada sistem pendidikan kita. Tanpa tindakan yang tegas, perkara seperti ini akan berulang tanpa henti dan mungkin menjadi lebih parah,” katanya.