Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA – dari MyCreative Ventures), dan pertubuhan kebudayaan PUSAKA menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menandakan titik awal usahasama dalam mempertingkatkan kelestarian, keterlihatan dan pemeliharaan para adiguru kesenian tradisional atau mereka yang mengungguli kesenian tradisional di Malaysia.

Antara hasil usahasama ini termasuklah pelancaran Program Adiguru CENDANA yang merupakan antara program Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) di bawah
Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Acara MoU ini disaksikan oleh Pengerusi
MyCreative Ventures, Ts. Noor Azmi Mat Said.

Program Adiguru CENDANA fokus untuk menyokong mereka yang secara khusus terlibat
dalam bidang-bidang seperti Tradisi Lisan, Muzik, Tarian, Teater, Penceritaan, Seni Rupa
dan Kraf.

Izan Satrina Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA (kiri) dan Eddin Khoo, Pengasas – Pengarah PUSAKA (kanan) pada majlis menandatangani MoU

Program ini merupakan sebuah program kesenian masyarakat yang bermatlamat
untuk:
● Menghargai individu atau kumpulan atas kepakaran dan pencapaian seumur hidup dalam memupuk kecemerlangan, daya tahan dan perkembangan kesenian tradisional Malaysia dalam masyarakat mereka;
● Memperkuat usaha-usaha para adiguru kesenian tradisional dalam memastikan kelestarian amalan seni mereka dalam masyarakat;
● Menyokong para adiguru kesenian tradisional dalam mengajar seni mereka kepada
golongan muda setempat;
● Membolehkan para adiguru untuk menyelenggara/ menambahbaik infrastruktur atau
menambahbaik kelengkapan lain bagi kesenian tradisional dalam masyarakat setempat;
● Membantu dalam meningkatkan penonjolan diri para adiguru bagi menggalakkan lagi penghargaan dan pemahaman; serta
● Memudahkan jalinan dan perkongsian antara para adiguru masyarakat mereka, dan
pembangunan koridor ekonomi wilayah dan lain-lain lagi.

“Kami sangat berbesar hati apabila usahasama ini membuahkan hasil dalam memastikan
segala perkhidmatan dan perancangan merangkumi para pengamal kreatif kita di luar
bandar.

“Kami berharap usahasama ini akan berkekalan agar ianya menjadi tanda iltizam kami terhadap masyarakat kreatif tradisional dan tempatan di Malaysia. Usaha ini adalah sebahagian daripada visi MyCreative Ventures untuk membangunkan Ekonomi Jingga
(Orange Economy) negara, yang sejajar dengan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama
dalam membangunkan semula ekonomi dalam era selepas pandemik COVID-19,” menurut
Noor Azmi Mat Said.

Adiguru CENDANA telah memulakan panggilan bagi permohonan dan pencalonan sejak
8 April 2021, kepada mereka yang memiliki pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam
amalan serta penyampaian pelbagai bentuk kesenian tradisional.

Permohonan dan pencalonan akan diadili oleh sebuah Jawatankuasa Penilai yang terdiri daripada para pakar dalam kebudayaan dan kesenian. Adiguru yang terpilih akan diumumkan pada bulan Jun 2021.

Dengan memanfaatkan geran sehingga RM30,000, segala kegiatan akan diadakan
sepanjang tempoh 12 bulan bermula pada pertengahan bulan Julai.

“Sebagai sebuah agensi ekonomi seni budaya, dan sebagai sebahagian daripada masyarakat kesenian, kita mesti mengakui sumbangan para adiguru dan mereka yang dari
generasi ke generasi mengungguli kesenian tradisional kepada Malaysia, baik untuk masa
lalu, sekarang, ataupun masa hadapan.

“Usahasama dengan PUSAKA ini akan memastikan bahawa usaha ini dijalankan dengan cara yang terhormat, berpengetahuan, relevan dari segi budaya dan terangkum,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin.

Pengasas-Pengarah PUSAKA, Eddin Khoo, menyambut baik jalinan usahasama antara CENDANA, sambil menegaskan bahawa usaha melindungi kesenian tradisional dalam
masyarakat setempat adalah penting.

“Kesenian tradisional Malaysia adalah wadah bagi ilmu yang mendalam, pandangan dunia, konsep-konsep estetika, dan ingatan bersama masyarakat kita. Kesemuanya mengandung ‘semangat’ kreatif masyarakat kita, dan mencerminkan proses pertemuan kebudayaan yang sudah membentuk pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia.

“Kita perlu mengakui keahlian dan kepintaran masyarakat kesenian tradisional kita, dan agensi seperti CENDANA layak menjadi pemudah caranya,” katanya.

Program Adiguru CENDANA akan turut menampilkan komponen ‘Program Residensi
Penceburan Kontemporari dan Tradisional’, bagi mengajak para pengamal kreatif untuk
terlibat dalam program residensi penceburan bersama adiguru daripada Program Adiguru
CENDANA.

Dengan memupuk usahasama kreatif antara kesenian tradisional dan para pengamal kreatif, pengalaman-pengalaman penceburan ini akan menggalakkan lagi penghargaan terhadap kesenian tradisional dalam kalangan masyarakat dan turut sama merintis jalan-jalan baharu bagi penerokaan kreatif dan pembangunan kebudayaan.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Adiguru CENDANA, sila rujuk https://www.cendana.com.my/opportunities/our-funding-programmes/adiguru-cendana