Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, sempena bulan Ramadan tahun ini NGO Antarabangsa masih berperanan dengan meneruskan usaha membantu golongan Islam di Kemboja.

Beliau berkata, walaupun tidak dapat menyertai program agihan keperluan asas kepada fakir miskin, ibu tunggal, mualaf dan anak-anak yatim seperti tahun-tahun sebelumnya disebabkan wabak pandemik COVID-19 tetapi NGO Antarabangsa masih meneruskan aktiviti membantu golongan asnaf menjelang Ramadan.

“Walaupun ketiadaan saya disebabkan pandemik COVID-19 dan perjalanan rentas sempadan egara belum dibuka, kita akur arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.

“Bagaimanapun, usaha menghulurkan bantuan bagi mereka yang memerlukan masih diteruskan seperti biasa,” katanya.

Dr Mustapha berkata, kira-kira 20 buah perkampungan masyarakat Islam di pedalaman Kemboja mendapat agihan barang keperluan asas seperti beras sebanyak 20 kilogram, gula, minyak, tepung, teh, air buah dan lain-lain lagi.

Katanya, bantuan dihulurkan ini bagi meringankan beban fakir miskin dan setakat ini hampir 600 golongan asnaf mendapat manfaat dari program NGO Antarabangsa.