Tinjauan satu kaji selidik yang dikelolakan oleh Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), mendedahkan bahawa 88 peratus daripada pengguna vape Malaysia yang dulunya menghisap rokok kini telah berjaya berhenti merokok dengan bantuan vape. 

Tinjauan yang sama juga mendapati 79 peratus, yang kini menggunakan vape dan pada masa yang sama menghisap rokok biasa, sudah kurang merokok sejak menggunakan vape dan 66 peratus daripada perokok sedia ada akan mula menggunakan vape atau meneruskan penggunaan vape dengan matlamat untuk berhenti merokok secara sepenuhnya. 

Penemuan ini didapati hasil tinjau selidik Malaysian Insights & Perspectives on Vape, (Pandangan & Perspektif Rakyat Malaysia tentang Vape), iaitu tinjauan pendapat yang dijalankan atas permintaan MVIA dan dikendalikan oleh Green Zebras, sebuah syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia. 

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, keputusan itu adalah sejajar dengan banyak kajian antarabangsa oleh pakar-pakar kesihatan awam terkemuka yang jelas menunjukkan vape sebagai alat yang berkesan untuk membantu perokok berhenti merokok dan merupakan alternatif yang jauh kurang mudarat.

“Penemuan terbaharu daripada Public Health England (PHE), sebuah agensi kesihatan UK, merupakan bukti jelas yang menunjukkan keberkesanan produk vape dalam kejayaan berhenti merokok.”

“Penemuan-penemuan ini telah mendorong banyak kerajaan di merata dunia untuk melancarkan kempen kesedaran bagi menggalakkan perokok berhenti dengan bertukar kepada vape.

“Di UK, Kerajaan menganjurkan kempen Stoptober tahunan pada bulan Oktober untuk mendorong perokok untuk bertukar kepada vape. Baru-baru ini, Kerajaan New Zealand juga melancarkan kempen QuitStrong untuk mencapai matlamat yang sama,” katanya.

Tinjauan selidik ini juga mendapati bahawa 56 peratus daripada rakyat Malaysia secara keseluruhannya berkata, bilangan orang yang menggunakan vape semakin meningkat dalam tempoh beberapa tahun lepas dan sebab utamanya ialah penggunaan vape dianggap kurang mudarat daripada merokok (59 peratus). 

“Inilah faktor penting mengapa ramai orang berhenti merokok dan bertukar kepada vape dan PHE menyatakan bahawa penggunaan vape adalah 95 peratus kurang berbahaya berbanding menghisap rokok. Penemuan PHE juga telah disokong oleh pelbagai agensi kesihatan awam dan pakar antarabangsa.” 

“Kerajaan Malaysia perlu mengiktiraf manfaat menggunakan vape, terutamanya potensinya untuk membantu perokok berhenti merokok dengan bertukar kepada produk kurang mudarat.

“Buat masa ini, produk vape masih tidak dikawal selia dan kami percaya sudah tiba masanya Kerajaan memperkenalkan peraturan terhadap produk dan mengguna pakai dasar-dasar yang akan menggalakkan perokok bertukar kepada vape yang kurang mudarat,” katanya.

Dengan matlamat memahami persepsi rakyat Malaysia terhadap penggunaan vape, tinjau selidik Malaysian Insights & Perspectives on Vape telah meninjau pandangan penduduk tempatan tentang kesan ekonomi vape dan juga pandangan mereka terhadap penggunaan vape sebagai cara membantu perokok berhenti merokok.

Tinjauan selidik ini melibatkan sampel seramai 1,025 dewasa Malaysia dan mencerminkan persepsi semua dewasa Malaysia di seluruh negara.