GCH Retails (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Dairy Farm International yang juga operator rangkaian pasar raya Giant di Malaysia merancang membuka 10 cawangan baharu Giant Mini tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Dairy Farm Bagi Perniagaan Makanan Asia Tenggara, Chris Bush berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan membuka Giant Mini yang bersaiz antara 800 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi di sekitar Lembah Klang sebelum menukar cawangan sedia ada miliknya iaitu G Ekspress dan ShopSmart secara berperingkat kepada Giant Mini.

Beliau berkata, pembukaan cawangan Giant Mini akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan baru kepada rakyat Malaysia khususnya yang terkesan akibat wabak COVID-19 dan juga memberi peluang kepada syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing menerusi rangkaian pasaraya kendalian Giant.

“Kami bangga kerana Giant mempunyai sejarah yang panjang di negara ini sejak 1944 dan kami berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan menerusi pengalaman membeli belah yang terbaik dan produk yang segar serta berkualiti.

“Justeru, kami memperuntukkan pelaburan sebanyak RM25 juta untuk melakukan penjenamaan semula semua 57 cawangan Giant seluruh negara termasuk menukar logo baru, pengenalan lebih 2,000 produk baharu termasuk produk IKS dan menyediakan segmen beli belah baru membabitkan barangan berharga serendah RM3 di semua kategori produk yang dipasarkan,” katanya sempena penjenamaan semula Giant di Pasaraya Giant Kota Damansara, Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran rasmi logo baharu dan penjenamaan semula disempurnakan hari ini oleh Yang Amat Mulia, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Lembaga Pengarah GCH Retail Malaysia; Ketua Pegawai Eksekutif Dairy Farm Bagi Perniagaan Makanan Asia Tenggara, Chris Bush dan Pengerusi Negara Jardines Matheson, Rossana Annizah.

Antara pembaharuan yang dijalankan ialah:

  1. Launch of over 2,000 new products, meliputi produk makanan segar, barangan runcit dan barangan rumah
  2. World of Food segmen yang menawarkan pilihan barangan makanan import dari seluruh dunia dan juga produk dihasilkan di negara ini
  3. Ringgit Zone, menawarkan produk berharga serendah RM3 dalam kategori barangan pengguna iaitu daripada peralatan dapur, rumah dan penjagaan diri.
  4. General Merchandise Section, rangkaian lengkap produk barangan am yang berkualiti pada harga berpatutan membabitkan lebih 700 produk baru daripada kelengkapan memasak, peralatan, barangan simpanan dan mainan.
  5. Ready To Eat Offerings, di beberapa pasaraya terpilih akan menawarkan produk segar yang dihasilkan setiap hari seperti produk-produk bakeri iaitu kek dan roti.
  6. Guardian, Health & Beauty Care, menjelang akhir bulan April ini, sejumlah 35 cawangan Giant akan memiliki rangkaian barangan yang menyediakan produk penjagaan diri bagi kemudahan pelanggan

Chris berkata, Dairy Farm juga melancarkan produk yang dihasilkan sendiri iaitu Meadows yang menjadi jenama utama di Giant membabitkan lebih 240 jenis produk dan sebanyak 210 lagi jenama ini akan memasuki pasaran Malaysia tahun ini.

“Kami melakukan penjenamaan semula ini adalah hasil maklumbalas daripada pelanggan meskipun ketika ini berhadapan dengan waktu yang mencabar namun kami kekal komited untuk menjadi peruncit barangan bernilai daripada segi harga dan nilai kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi, Giant juga melancarkan diskaun promosi sehingga 50 peratus bagi beberapa produk terpilih bertujuan menyemarakkan bulan yang mulia ini.

Sejak awal tahun 2000, Giant berjaya mengukuhkan kehadirannya sebagai peneraju produk berharga rendah di Malaysia termasuk menerima Anugerah Harga Berpatutan 2016 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.