Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) di Ibu Pejabat bersama-sama dengan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya telah menjalankan satu operasi serentak pada 23 Mac 2021 terhadap penjualan steroid anabolik dan pelbagai produk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM.

Tindakan ini diambil rentetan daripada beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik di platform e-dagang.

Melalui risikan bersepadu yang dilakukan oleh KKM, 10 premis telah diserbu melibatkan rampasan sebanyak hampir 300 jenis item merangkumi produk yang mengandungi steroid anabolik, produk-produk psikotropik, dan bahan terlarang lain serta pelbagai produk tidak berdaftar.

Gambar oleh KKM

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Datin Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata,  jumlah keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.2 juta. Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.

Penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Gambar oleh KKM

Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Steroid dikategorikan sebagai racun terkawal dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi. Steroid anabolik kerap disalahgunakan oleh individu untuk tujuan membina otot badan.

“Selain mampu merosakkan buah pinggang, penggunaaan steroid tanpa pengawasan boleh menyebabkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon di dalam badan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Gambar oleh KKM

Pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut. Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722.

Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut.

Gambar oleh KKM

Dalam usaha KKM melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam  melalui pemantauan secara berterusan oleh BPF KKM, orang ramai turut digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak berdaftar kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my / ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.