Satu tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan sebahagian besar daripada rakyat Malaysia (80%) berkata Kerajaan harus mengambil tindakan yang lebih menyeluruh untuk mengawal selia industri vape di Malaysia.

Tinjauan pendapat tersebut juga menunjukkan 76% bersetuju bahawa ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada peraturan terhadap produk vape. 

Maklumat ini dikumpulkan daripada tinjauan Malaysian Insights & Perspectives on Vape, yang merupakan tinjauan pendapat kendalian Green Zebras, sebuah syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia, atas permintaan Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA).  

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy, Rizani Zakaria berkata, tinjauan pendapat ini menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia mahukan pengawalseliaan terhadap produk vape.

Laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa terdapat lebih 1 juta pengguna vape di Malaysia tetapi tiada peraturan digubal untuk mengawal selia industri, menyebabkan pengguna tiada pilihan kecuali menggunakan produk yang tidak dikawal selia. 

“Laporan yang diterbitkan baru-baru ini oleh sebuah kumpulan industri tempatan mengesahkan bahawa industri vape mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan keupayaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan perniagaan dan PKS sedia ada dalam industri, dan menarik pelaburan.

“Hakikat ini tidak boleh diabaikan dan Kerajaan mesti bertindak pantas untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia produk vape,” katanya.

Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa 87% rakyat Malaysia bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape dan 74% berpendapat hasil yang dikumpulkan daripada produk vape boleh dibelanjakan oleh Kerajaan dalam bidang-bidang penting seperti pendidikan dan ekonomi. 

Beliau berkata, pelaksanaan cukai eksais ke atas produk vape sejak awal tahun ini merupakan satu langkah yang tepat ke arah mengawal selia industri.

Katanya, ramai juga bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape kerana hasil yang dikumpulkan boleh dimanfaatkan dengan sewajarnya.

“Bagaimanapun, struktur cukai eksais semasa tidak termasuk e-cecair vape mengandungi nikotin, yang membentuk sebahagian besar daripada pasaran tempatan. Ini bermakna kutipan hasil tidak akan dimaksimumkan, dan pelaksanaan duti eksais adalah tidak berkesan,” katanya.

Rizani berkata, kerajaan harus meluaskan struktur cukai untuk merangkumi e-cecair vape mengandungi nikotin dan memperkenalkan peraturan jelas bagi produk ini.

“Dengan cara ini, Kerajaan boleh memaksimumkan kutipan hasil dan pada masa yang sama memastikan pengguna dapat menggunakan produk yang dikawal selia di Malaysia,” katanya.

Tinjauan ini, yang bertujuan memahami persepsi rakyat Malaysia terhadap penggunaan vape, telah meminta pandangan penduduk tempatan tentang kesan ekonomi penggunaan vape dan juga pendapat mereka ke atas penggunaan vape sebagai kaedah mengurangkan mudarat daripada tembakau.

Penemuan lain daripada tinjauan Malaysian Insights & Perspectives on Vape akan didedahkan pada minggu-minggu akan datang. 

Tinjauan ini membabitkan saiz sampel 1,025 dewasa Malaysia dan mencerminkan persepsi semua dewasa Malaysia di seluruh negara.