Pertandingan musikal selama sebulan ini menawarkan hadiah bekalan pelincir enjin selama 2 tahun bagi menghargai jasa para mekanik di Malaysia yang memastikan negara terus bergerak lancar walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran pandemik

Castrol, salah satu jenama pelincir terkemuka dunia, mengumumkan kembalinya sambutan tahunan, Castrol Hari Mekanik Malaysia.

Disambut pada setiap tahun sejak 2019, ia diadakan sebagai tanda penghormatan kepada para mekanik di seluruh Malaysia, dan merupakan satu-satunya sambutan seumpamanya di negara ini.

Hari Mekanik Malaysia 2021

Kempen bertemakan “Beat of Mechanics” ini dianjurkan bagi menghargai semangat serta komitmen para mekanik yang sentiasa bertungkus lumus bekerja di sebalik tabir untuk memastikan para pemandu sentiasa selamat ketika berada di atas jalan raya.

Castrol menyasarkan untuk mengiktiraf komitmen para mekanik terhadap profesion perkhidmatan automotif di sepanjang bulan Mac 2021 menerusi platform digital. Ia diharap dapat memupuk kesedaran mengenai kepentingan para mekanik dalam kehidupan masyarakat di Malaysia dan bagaimana mereka memastikan ekonomi negara terus bergerak lancar semasa berdepan dengan cabaran pandemik ini.

Kempen yang dijadualkan berlangsung selama sebulan ini menampilkan peraduan sosial media di mana Castrol menawarkan hadiah berupa bekalan pelincir enjin sintetik penuh termaju Castrol EDGE 5W-40 4L selama dua tahun, serta pelbagai barangan edisi terhad Castrol untuk 20 pemenang bertuah.

Peraduan yang dikenali sebagai “Beat of Mechanics” ini mengajak para pengguna media sosial untuk mempamerkan bakat tarian mereka dengan menghasilkan video pendek mereka sendiri, berpandukan kepada muzik #beatofmechanics dan koreografi seperti di dalam video yang telah disediakan, digabungkan dengan  kreativiti mereka.

Video pendek itu juga mesti menampilkan sebuah kenderaan, sebagai penghargaan kepada mekanik. Para peserta boleh memuat naik video tersebut ke dalam laman Facebook, Instagram atau Tik Tok peribadi mereka dan meletakkan tanda pagar rasmi #beatofmechanics & #CastrolHariMekanikMalaysia.

Peraduan sempena sambutan Hari Mekanik Malaysia ini dianjurkan bagi menghargai tugas serta sumbangan para mekanik, mengetengahkan komitmen berterusan Castrol dalam usaha membawakan pengalaman baru dan menarik kepada masyarakat.

Dalam tempoh 12 bulan yang lalu, pelbagai kenderaan seperti ambulans, kereta polis, trak logistik dan kenderaan penghantaran telah menjadi nadi penggerak utama untuk perkhidmatan penting yang memastikan rakyat Malaysia dapat tinggal di rumah dan kekal selamat, sekali gus menyumbang kepada usaha pemulihan Malaysia di sepanjang tempoh pandemik.

Castrol Hari Mekanik Malaysia menyasar untuk meraikan para mekanik di seluruh negara yang terus melaksanakan tugas menyelenggara dan membaiki kenderaan di sepanjang tempoh yang serba mencabar ini, sama seperti wira-wira lain yang telah banyak menabur bakti demi negara.

“Kami sangat berbesar hati kerana dapat meraikan begitu ramai mekanik berjasa di Malaysia yang telah banyak menabur bakti di sepanjang tempoh yang serba mencabar ini. Kami di Castrol percaya bahawa semua mekanik telah menunjukkan semangat yang tidak berbelah bagi sebagai rakyat Malaysia.

Kesungguhan, komitmen serta dedikasi utuh yang ditunjukkan oleh mereka dapat dibuktikan dengan para pesakit, barang-barangan dan pekerja barisan hadapan dapat sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat,” jelas Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia dan Singapura, Keow Mei-Shan.

“Kita tahu bahawa semakin ramai orang menggunakan media sosial untuk berhubung dengan ahli keluarga serta rakan-rakan, dan kempen yang dianjurkan secara maya sepenuhnya ini dapat memudahkan orang ramai untuk berkongsi sokongan serta penghargaan mereka terhadap para mekanik kita,” katanya.