Usahawan muda perlu bangkit menguasai perniagaan sama ada membabitkan warisan keluarga atau minat yang mendalam dalam perniagaan.

Pengerusi NGO Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, kini lebih ramai generasi muda tampil menceburi bidang perniagaan khususnya ketika berlakunya wabak COVID-19 yang meninggalkan kesan mendalam kepada semua pihak.

“Justeru, generasi muda perlu juga dipupuk minat dalam bidang yang mereka suka dan saya suka menyaran agak belia yang berminat dalam pelbagai bidang boleh memohon bantuan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan kemahiran mengikut minat masing masing,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan usahawan muda, Sadruddin Mohd Salahuddin dalam bidang pemborong dan jualan barang kecantikan di Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, walaupun dalam usia yang muda, Sadruddin mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang memborong produk kecantikan dan barang-barang penjagaan kesihatan.

Menurutnya,  arwah ayahnya menjadi pendorong kuat dalam bidang perniagaan itu dan mula menceburi bidang itu seawal usia 18 tahun.

Beliau ketika ditemui di bangunan tingkat empat yang dimilikinya berharap lebih ramai belia berminat khususnya dari universiti tempatan untuk menjalani latihan pratikal di syarikatnya.

Mustapha menyerah kain mafla kepada usahawan muda Sadruddin Mohd Salahuddin di pejabatnya