Rintihan beberapa kesatuan, persatuan dan wakil industri media tempatan yang ketika ini berdepan dengan cabaran cukup getir dalam kehidupan dan kerjaya telah mendapat perhatian dan reaksi positif daripada Pejabat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pihak kesatuan telah menyuarakan kebimbangan dan cabaran yang telah dan akan dihadapi oleh ahli dan bekas ahli kesatuan sejak dua tahun lalu (2019), namun masih tiada sebarang maklum balas yang jelas daripada kerajaan.

Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (KSKSTMB), Khairuzzaman Mohammad berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan wakil Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia, untuk mengadakan perbincangan dua hala antara pihak kementerian dengan wakil-wakil media.

“Pihak KSKSTMB bersyukur kerana kini telah mendapat maklum balas yang cukup positif dari Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang sedia untuk bertemu dengan kami dan beberapa kesatuan media yang lain pada 9 Mac 2021.

“Kami difahamkan, selain KSKSTMB perjumpaan berkenaan juga akan melibatkan wakil dari  Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Bhd (KESTMB), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), bekas ahli Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu (M) Berhad (NUJUM), bekas ahli Persatuan Jurufoto Media Malaysia, yang akan diadakan di pejabat beliau di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini.

Khairuzzaman berkata, pertemuan itu amat penting kerana cabaran yang bakal dihadapi industri media khususnya melibatkan pekerja dan bekas pekerja industri sangat kritikal dan memerlukan sokongan kerajaan bagi merangka perancangan yang sesuai dan berkesan.

Katanya, pihak KSKSTMB berharap pertemuan itu akan membuahkan hasil yang positif, sekali gus memberi faedah kepada semua pekerja dan bekas pekerja industri media tempatan.