“Satu strategi dan pelan tindakan nasional pelbagai disiplin dan menyeluruh bagi menangani jenayah ekonomi adalah kritikal bagi membolehkan pemulihan ekonomi pasca Covid-19 dan meningkatkan minat kepada Malaysia dalam menarik pelaburan terus langsung (FDI),” kata bekas Ketua Polis Negeri Sarawak, Datuk Dr Yusoff Nook.

Beliau berkata demikian berikutan pendedahan terbaru berkenaan skandal kewangan 1MDB serta laporan-laporan mengenai aktiviti penyeludupan yang berleluasa melibatkan daging, rokok dan barangan keperluan harian.

Datuk Dr Yusoff berkata, skandal kewangan, pasaran gelap yang tidak terkawal dan penyakit rasuah adalah jenayah ekonomi yang memusnahkan setiap segmen masyarakat kita.

Bekas Ketua Polis Sarawak

“Kerajaan Malaysia terus kerugian berbilion ringgit setiap tahun kerana jenayah sebegini manakala struktur masyarakat kita diancam oleh elemen jenayah dan budaya kleptokrasi.”

“Selain daripada kehilangan pendapatan, jenayah ekonomi juga menghalang pelabur asing daripada melabur di Malaysia. Kebimbangan berkaitan harta intelek, keselamatan individu dan daya maju pasaran dalam persekitaran di mana undang-undang dianggap tidak ada, akan menyebabkan bakal pelabur berfikir dua kali sebelum mereka memindahkan kemudahan atau operasi perniagaan ke negara kita.

“Jika kita mengambil kira kerugian semasa dan yang bakal dialami secara keseluruhannya, saya ramalkan kos disebabkan jenayah ekonomi boleh mencapai tahap trilion ringgit dalam masa 10 tahun akan datang, jika tidak dikawal,” katanya lagi.

Datuk Dr Yusoff berkata, sekaranglah masa yang sesuai untuk membentuk strategi dan pelan tindakan nasional menentang jenayah ekonomi.

“Dengan bermulanya vaksin Covid-19 dan berakhirnya PKP di bandar-bandar utama, sebagai sebuah negara, kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi.

“Kita tidak mampu membiarkan jenayah ekonomi menyebabkan usaha kita untuk memperbaiki kehidupan dan perniagaan yang terjejas oleh pandemik ini, tergelincir daripada landasannya. 

“Strategi dan pelan tindakan nasional bagi menentang jenayah ekonomi ini mestilah meliputi semua dan dibangunkan dengan input dan saranan daripada cawangan penguatkuasaan yang relevan, agensi awam dan sektor swasta. Inisiatif ini juga mesti diterajui dan disokong oleh peringkat tertinggi dalam Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, tindakan terbaru Kerajaan untuk membanteras penyeludupan rokok seludup dalam Bajet 2021 dengan mengukuhkan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) dengan kemasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan adalah contoh terbaik pendekatan pelbagai disiplin untuk melawan jenayah ekonomi.

“Penyeludupan rokok adalah jenayah ekonomi yang besar yang melibatkan kos RM5 bilion dari segi pendapatan cukai yang tidak dibayar setiap tahun. Kadar yang tinggi bagi rokok seludup ini telah berterusan sejak 2016 dan kerajaan sebelum ini telah cuba untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi gagal.

“Saya berharap lebih banyak pelan dan tindakan yang lebih baik dan menyeluruh dilakukan oleh MATF bagi menangani masalah ini memandangkan kita sudah memasuki akhir suku keempat 2021,” katanya.

“MATF boleh dan mesti memainkan peranan yang lebih besar dalam menangani jenayah ekonomi. Selain itu, pasukan petugas merentasi agensi seperti MATF juga boleh menyumbang kepada strategi dan pelan tindakan nasional bagi melawan jenayah ekonomi dengan menyarankan perubahan pada peringkat dasar yang boleh memberi kesan yang lebih menyeluruh.

“Sebagai contoh, MATF boleh mencadangkan dasar-dasar yang boleh mengurangkan jurang perbezaan harga yang tinggi antara rokok seludup dan rokok sah, yang menjadi punca menggalakkan penyeludup untuk melakukan jenayah ekonomi ini. MATF juga boleh menyarankan penalti lebih berat dan mungkin juga boleh mencadangkan sistem ganjaran kepada pegawai penguatkuasaan yang boleh menambah baik keberkesanan dan kecekapan,” katanya.