Rakyat Malaysia pasti terus beruntung bahawa kesejahteraan rakyat menjadi perkara utama yang berterusan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berpaksikan kepada Rancangan Malaysia Kedua-Belas (RMKe-12) dan Rancangan Malaysia Ketiga-Belas (RMK Ke-13).

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, menerusi RMK Ke-12 dan RMK Ke-13, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara melahirkan harapan besar bahawa Kerajaan PN dapat merealisasikan peta ekonomi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai agenda yang membawa kepada pemulihan ekonomi yang efektif bagi rancangan jangka panjang negara.

Razali Idris

Justeru, perkara pembasmian kemiskinan baharu akibat pandemik COVID-19 termasuk kemiskinan sedia ada hendaklah dijadikan agenda atau solusi pertama yang perlu dicapai berdasarkan jumlah yang sangat ramai dalam kategori kemiskinan di negara ini.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengambil kira perkara ini secara serius yang mana kumpulan T20 sebahagiannya menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40 termasuklah kumpulan B40 yang terus bertambah miskin.

“Akibat komitmen yang ditanggung oleh kumpulan-kumpulan ini yang sangat tinggi berikutan penguncupan ekonomi yang ketara telah menjadikan rakyat Malaysia yang dimaksudkan itu sudah tidak ada punca pendapatan, penyusutan wang tunai (cash flow) yang banyak serta tidak dapat mencairkan aset fizikal sedia ada bagi menanggung bebanan ekonomi keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia, berkata program-program yang dirancang menerusi WKB 2030 di bawah RMK Ke-12 dan RMK Ke-13 perlu disasarkan kepada kumpulan rentan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Rakyat tidak akan melupakan jasa dan keprihatinan kerajaan PN yang tidak pernah berputus asa memerangi pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun lalu yang pastinya menaruh keyakinan tinggi bahawa kerajaan sedia ada berkeupayaan dalam merealisasikan WKB2030,” katanya.

Untuk memastikan “KESEJAHTERAAN RAKYAT” secara holistik dinikmati secara bersama, dua kata kunci utama iaitu melindungi nyawa dan kehidupan seperti yang disebutkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggambarkan tumpuan pentadbiran Kerajaan PN sejak setahun yang lalu mempunyai asas kepercayaan yang tinggi perlu diletakkan oleh rakyat Malaysia pada masa ini.

Sehubungan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara selari dengan harapan Kerajaan PN untuk terus mengambil langkah berani dan proaktif demi usaha melindungi nyawa dan kehidupan rakyat.