Perodua D55L – model Perodua paling canggih setakat ini, kini dibuka untuk tempahan menerusi varian X, H dan AV ditawarkan dengan harga tentatif atas jalan sebelum insurans
antara RM62,500 dan RM73,400 di Semenanjung Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua D55L merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, menerajui gaya, keselamatan, teknologi, tahap kelengkapan dan juga nilai bagi Perodua.

Antara ciri utama D55L adalah Sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*). Terdapat pada semua varian, ASA terkini mampu beroperasi pada kelajuan yang lebih tinggi berbanding versi semasa, dan mampu mengesan kenderaan dua-roda.

Gambar Hiasan

Turut terdapat pada semua varian adalah Lane Departure Warning and Prevention, manakala varian AV didatangkan dengan Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Disebabkan ciri-ciri tersebut, Perodua D55L merupakan model Perodua pertama yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

“Selari dengan matlamat kami untuk terus membawa lebih banyak teknologi canggih kepada orang ramai, Perodua D55L AV merupakan kenderaan Autonomi Tahap 2 yang paling mampu milik di Malaysia, menawarkan ciri keselamatan dan kemudahan canggih kepada semua,” katanya dalam kenyataan di sini.

Prebiu.com difahamkan, SUV baharu Perodua itu, yang disebut sebagai Kembara baharu, dikatakan dibangunkan berasaskan platform Arkitektur Global Baharu Daihatsu (Daihatsu New Global Architecture, DNGA) sama seperti Toyota Raize yang dilancarkan di Jepun November tahun lalu.

Gambar Hiasan

“Kenderaan SUV kekal popular, dan Perodua D55L memenuhi trend ini dengan saiz yang kompak, gaya kontemporari dan ciri-ciri moden, menjadikannya paling sesuai untuk gaya hidup aktif seharian,” katanya.

Perodua D55L juga merupakan kenderaan turbo pertama Perodua, selari dengan trend downsizing global, dan model Perodua pertama yang menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT), menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9 km/l – terbaik dalam kelasnya.

Lampu hadapan LED terdapat pada semua varian, manakala varian H dan AV dilengkapi dengan Adaptive Driving Beam, panel meter TFT 7-inci serta sistem infotainment skrin sesentuh 9-inci dengan voice recognition.

“Memandangkan pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan dijangka berakhir pada akhir-Jun, jangan tunggu lagi untuk menempah – penasihat jualan kami yang sah bersedia membantu anda dan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Perodua D55L di semua pusat jualan kami di seluruh negara, dengan pematuhan ketat garis panduan COVID-19 demi kesihatan dan keselamatan anda,” katanya.

Gambar Hiasan

Varian X dan H boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue – varian H turut didatangkan dengan pilihan Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red.

Tiga warna terakhir adalah baharu buat Perodua. Varian AV boleh didapati dalam warna Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White, Pearl Delima Red dan dua warna terakhir dengan bumbung hitam. Waranti lima tahun/150,000 km ditawarkan.

*ASA adalah adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko
pelanggaran dan bukan pengganti pemanduan selamat sama sekali. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu.