Majlis Kayu-Kayan Malaysia melancarkan Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu-Kayan 2021 untuk menarik jurutera ceburi sektor perkayuan.
Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan melancarkan program baharu Mac ini untuk jurutera, graduan teknologi perkayuan serta mahasiswa diserap ke syarikat berasaskan kayu bagi tujuan penempatan dan latihan prasiswazah dalam usaha memberikan peluang kepada golongan ini membina kerjaya di dalam industri perkayuan.
Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah dalam Industri Kayu-Kayan ini akan menggabungkan kerjasama antara MTC, institusi pengajian dan politeknik tempatan serta persatuan kayu-kayan.

“Keperluan khidmat jurutera menjadi lebih penting apabila syarikat-syarikat berasaskan kayu mula beralih ke arah pendigitalan dan pembuatan pintar kesan pandemik Covid-19 terhadap perniagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili.
Beliau berkata, kebanyakan perincian di dalam proses pembuatan mampu difahami dengan baik oleh jurutera.
Katanya, program berkenaan adalah sebahagian daripada Pelan Lima Tahun MTC yang memberi tumpuan kepada membina dan meningkatkan bilangan pekerja yang berpengetahuan dalam industri.
Program Penempatan Jurutera merupakan program yang ditawarkan kepada jurutera untuk menjalani latihan di tempat kerja di bawah bimbingan profesional selama setahun. Manakala Program Latihan Prasiswazah adalah terbuka kepada mahasiswa yang sedang melakukan latihan industri. Kos latihan serta elaun akan ditanggung oleh MTC.
Muhtar berkata, program itu akan dilancarkan pada Mac oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang turut akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MTC, enam persatuan kayu-kayan, lapan universiti dan dua politeknik.