Oleh Adam Salleh

Di kala kita lena dibuai mimpi, apakah kita sedar bagaimana petugas barisan depan (frontliners) yang masuk bertugas jam 12 tengah malam mencari makanan bagi mengisi perut?

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghalang restoran dibuka 24 jam seperti kebiasaaan sebelum ini, menjadi cabaran pada ‘frontliners’ seperti polis dan tentera yang mengawal kenderaan di lokasi tertentu.

Atas kesedaran ini, Perkim Bandar Tasik Puteri (BTP), Rawang mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan makanan panas buat polis dan tentera yang bertugas di tol Rawang, Selangor.

Pengerusi Perkim BTP, Rafiq Ravi (kiri) bersama salah seorang anggota polis yang bertugas di tol Rawang

Pengerusi Perkim BTP, Rafiq Ravi berkata sumbangan makanan panas RTE (Ready To Eat) yang disumbang pihaknya bermula apabila ada anggota bertugas malam menceritakan masalah mereka pada salah seorang AJK Perkim BTP untuk mendapatkan bekalan makanan panas.

“Maklumat ini membuatkan saya tersentuh, lalu kami bermesyuarat dan atas tanda prihatin Perkim BTP bersetuju untuk memberi sumbangan makanan RTE dan minuman setiap malam yang disampaikan oleh AJK Perkim BTP,” katanya ketika ditemui Prebiu.com.

Menurut Rafiq, usaha murni itu mendapat sokongan daripada pihak Masjid BTP, surau Al-Furqan, Fitrah Brotherhood Services, Warong Nasi Ayam Muallaf dan Moondass Resources yang menaja RTE secara bergilir-gilir.

“InsyaAllah program RTE Perkim BTP ini akan dijalankan sehinggalah berakhir PKP,” katanya.