Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa mencadangkan agar silibus peperiksaan dalam talian perlu ditambah baik dan dikaji semula bagi kesesuaian masa kini.
Pengerusinya, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, kajian mengenai perkara itu perlulah dibuat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan sektor awam dan kebajikan mereka di dalam kerjaya di masa depan.
“Saya juga memberi cadangan agar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya untuk memberi kelonggaran syarat kepada penjawat awam Gred 40 ke bawah yang mempunyai kelulusan akademik tinggi dan mempunyai pengalaman kerja untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Datuk Zohari Said di Putrajaya, baru-baru ini.

Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha, Datuk Ikhbal Hanam Mukras dan Ghazali Hizam.
SPA telah ditubuhkan mengikut Perkara 139 (1) Perlembagaan Persekutuan pada 31 Ogos 1957. SPA mempunyai kuasa melantik, mengesahkan perjawatan tetap, berpencen, naik pangkat dan menukar untuk penjawat awam. Selain itu, kawalan tatatertib penjawat awam juga terletak dibawah bidang kuasa SPA.
Oleh itu, semua calon yang memohon dalam SPA mestilah melalui proses permohonan dan pengambilan calon di SPA perlu lulus empat proses saringan sebelum ditawarkan memasuki perkhidmatan awam.
Beliau yang juga Penasihat Beberapa Pertubuhan NGO Malaysia, berkata proses itu ialah proses tapisan awal, peperiksaan, penilaian kompetensi dan temuduga akhir. Oleh itu, SPA kini telah menambahbaik beberapa ciri-ciri pengambilan calon dengan model pengambilan My Recruitment 2.0.
Tujuannya bagi membolehkan lebih ramai calon dapat menduduki penilaian awal untuk itu calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), diploma, ijazah dan lain-lain kelulusan akademik tinggi tidak lagi bergantung kepada Gred atau tapisan CGPA seperti sebelum ini.
Kaedah ini juga, memberi peluang luas kepada calon yang memohon jawatan mengikut kekosongan dan kelayakan yang ada. Secara samarata, mengikut kajian setiap tahun lepasan graduan dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta mencecah puluhan ribu orang.







































