Peraturan ke atas e-cecair bernikotin akan menghasilkan kesan pengganda positif ke atas ekonomi termasuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik FDI

Sempena dengan pelancaran laporannya bertajuk Kajian Industri Vape Malaysia, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) hari ini menyatakan bahawa industri vape Malaysia bernilai RM2.27 bilion.

DPVM berpendapat bahawa industri vape di Malaysia adalah besar untuk dibiarkan tanpa dikawal selia dan telah menyeru Kerajaan untuk serta-merta memperkenalkan peraturan yang sewajarnya untuk mencipta kesan pengganda positif ke atas ekonomi Malaysia.

Syed Azaudin Syed Ahmad

 DPVM telah melantik Green Zebras, sebuah agensi penyelidikan pasaran, untuk mengendalikan kajian pertama ke atas industry vape di negara ini.

Penemuan tersebut menunjukkan terdapat lebih daripada 3,300 perniagaan yang terlibat secara langsung dalam industri vape, dengan tenaga kerja seramai lebih daripada 15,000 kakitangan. Dianggarkan bahawa pekerja dalam industri vape dibayar gaji mencecah RM450 juta secara keseluruhannya pada 2019 sahaja.

Presiden DPVM, Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, data itu jelas menunjukkan bahawa sektor ini suatu industri yang berdaya maju dan semakin berkembang di Malaysia dan boleh memberikan sumbangan besar kepada ekonomi tempatan.

“Industri ini telah menggalakkan perkembangan usahawan tempatan di mana ramai terdiri daripada peniaga tempatan dan Bumiputera.

“Di samping itu, industri vape Malaysia buat masa ini mempunyai ekosistem mapan yang terdiri daripada pengeluar, pengimport dan peruncit, dan rangkaian pengedar dan logistik tempatan,” katanya. 

Antara penemuan utama yang lain daripada kajian tersebut termasuk:

  • Tenaga kerja industri ini sebahagian besarnya daripada golongan dewasa muda yang berusia di bawah 30 tahun, dan kebanyakannya berbangsa Melayu; 
  • Terdapat 1.12 juta pengguna vape di Malaysia berasaskan data dari Kementerian Kesihatan Malaysia 
  • Profil etnik pengguna vape mencerminkan taburan kaum negara ini – Melayu (70%), Cina (25%), India dan lain-lain  (5%);
  • 94% daripada pengguna vape pernah merokok dan sebab utama mereka memilih vape adalah sebagai kaedah berhenti merokok (57%) dan kerana vape kurang mudarat berbanding merokok (56%);
  • Public Health England, sebuah agensi kesihatan kerajaan di UK telah menerbitkan bukti daripada pakar-pakar yang mendapati vape adalah 95% kurang mudarat berbanding merokok. Penemuan tersebut disokong oleh banyak pakar kesihatan awam dan mereka yang menyokong usaha menghentikan tabiatmerokok termasuk Kementerian Kesihatan Kanada dan New Zealand.

Di Malaysia, Kerajaan telah mengumumkan cukai eksais ke atas peranti vape dan e-cecair yang telah dilaksanakan sejak 1 Januari 2021.

Bagaimanapun, DPVM percaya bahawa sistem percukaian ini perlu diperluas untuk merangkumi e-cecair mengandungi nikotin yang meliputi 97% daripada pasaran Malaysia untuk memberikan sumbangan yang berkesan kepada hasil Kerajaan. 

“Industri vape Malaysia mempunyai potensi besar yang boleh dimanfaatkan dengan peratuan praktikal dan komprehensif yang perlu merangkumi e-cecair bernikotin. Langkah ini akan merangsang pertumbuhan PKS yang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan menjana hasil cukai bagi Kerajaan,” katanya lagi.

Syed Azaudin berkata, walaupun sektor lain menghadapi cabaran untuk menarik pelaburan, Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam sektor ini.

“DPVM percaya sektor vape sudah bersedia dan mampu menarik FDI berkualiti berlandaskan ekosistem mapan yang boleh menarik pelaburan global dan syarikat multinasional,” katanya 

Saiz pasaran e-rokok dan vape global dijangka mencecah USD67.31 bilion (RM272.54 bilion) menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan terkompaun tahunan bagi hasil sebanyak 23.8% dari 2020 hingga 2027, menurut satu kajian terbaharu yang dikendalikan oleh Grand View Research, Inc.2

“DPVM telah melaksanakan kajian ini untuk memberikan asas kukuh berasaskan data kepada Kerajaan untuk serta-merta memperkenalkan peraturan ke atas industri vape,” katanya lagi. 

Untuk memuat naik laporan penuh, layari, laman web atau laman Facebook DPVM. 

Mengenai Dewan Perniagaan Vape Malaysia 

Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), yang ditubuhkan pada 2015, ialah satu-satunya persatuan berkaitan vape yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Keutamaan kami adalah untuk menjadikan industri vape di Malaysia lebih berdaya saing dan tersusun secara keseluruhan. Dengan bantuan ahli-ahli yang penuh berdedikasi, kami telah menganjurkan kempen kesedaran, aktiviti hubungan kemasyarakatan, latihan terperinci dan sesi libat urus dengan agensi-agensi Kerajaan. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di https://vapemalaysia.org/ atau laman Facebook kami di https://www.facebook.com/DewanPerniagaanVapeMalaysia. 

2 Laporan pasaran E-Rokok & Vape, Grand View Research 

https://www.grandviewresearch.com/press-release/global-e-cigarette-vaping-market