Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur telah berjaya membina dan menyiapkan Maahad Tahfiz Baitul Hasan di Kelantan membabitkan tempoh selama tiga tahun hasil infaq, wakaf dan sumbangan orang ramai.

Pengasas Baitul Hasan, Ustaz Dino Rizal Suratman berkata, maahad tahfiz itu kini sudah bersedia untuk beroperasi termasuk menerima pelajar terdiri daripada golongan anak yatim, asnaf dan jemaah di sekitar kawasan.

“Kita jangka mampu memulakan pengajian apabila pandemik Covid-19 ini berakhir dan mendapat kebenaran daripada pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

“Bagaimanapun, pihak kami masih merayu sumbangan daripada orang ramai untuk menampung kos pentadbiran dan operasi semasa seperti bil utiliti, penyelenggaraan dan kemudahan fasiliti lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada muslimin dan muslimat yang telah menghulurkan sumbangan setakat ini sehingga siapnya bangunan Maahad Tahfiz Baitul Hasan.

“Bersama-samalah kita mendoakan agar maahad tahfiz ini dapat beroperasi sepenuhnya dan melahirkan generasi Al-Quran yang kelak dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

“Moga ia menjadi amal soleh dan bekalan buat kita diakhirat kelak…teruskan usaha untuk mengimarahkan maahad tahfiz ini dengan menyalurkan sumbangan dalam bentuk wakaf/sedekah zakat/infak ke akaun Bank Islam,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus menyalurkan sumbangan anda ke akaun Bank Islam 14171 01 000 7586 (Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur ) atau hubungi talian 017-3535 085 (Ustaz Dino) atau 017-3505 681 (Pejabat Baitul Hasan).

Beliau berkata, Baitul Hasan ini ditubuhkan pada 3 September 2013 dan aktif membantu golongan asnaf dan memerlukan dengan menganjurkan beberapa program berbentuk pendidikan, sumbangan kewangan dan barangan.

“NGO ini bukan saja menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan di dalam negara, malah juga di luar negara menerusi wakil yang dilantik,” katanya.