Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) merupakan pakej berciri realistik dan dinamik berdasarkan kesinambungan pelaksanaan beberapa pakej rangsangan ekonomi negara lalu termasuk Belanjawan 2021 bagi negara yang sedang berdepan penularan pandemik COVID-19 ini.

Justeru itu, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyifatkan langkah pengumuman semalam oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus menerus meletakkan kelangsungan kehidupan rakyat, pemulihan ekonomi secara efektif dan kesihatan awam untuk terus kekal berdaya saing sebagai keutamaan paling tinggi negara.

Razali Idris

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, beliau menaruh keyakinan dan harapan tinggi pelaksanaan PERMAI dengan sejumlah peruntukan RM15 bilion dengan 22 inisiatif mampu mengurangkan impak dan beban yang ditanggung setiap lapisan rakyat dan memberikan ketahanan serta kemapanan ekonomi negara untuk pulih semula.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, menerusi insentif, bantuan, pemudahcara dan penambahbaikan dalam PERMAI, beliau juga percaya pendekatan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan Kabinet telah menyediakan dorongan yang betul bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Seiring dengan hasrat Perdana Menteri itu, adalah diharapkan proses birokrasi agensi dalam sistem penyampaian perlu disifarkan bagi memastikan agihan dan bantuan boleh disegerakan.  

“Dalam hal ini, Kerajaan telah melakukan yang terbaik dan pada waktu sama, rakyat dipohon untuk melakukan yang terbaik jua untuk bersama-sama memulihkan ekonomi kendiri, keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya.

“Usahlah diperlekehkan niat murni Kerajaan, kerana apa yang diumumkan setiap pakej rangsangan ekonomi negara membawa pulangan semula kepada rakyat sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.