UMW Toyota Motor mencatatkan jualan sebanyak 59,320 unit manakala Perodua merekodkan jualan sebanyak 220,154 unit pada 2020

UMW Holdings Berhad berjaya mengatasi sasaran jualan kenderaannya pada tahun 2020 berikutan penjualan yang lebih memberangsangkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu 38%, Perodua.

Pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan yang berkuatkuasa mulai 15 Jun 2020 telah mendorong peningkatan permintaan dan penjualan pada separuh kedua tahun ini.

Dengan catatan penjualan bulanan yang tertinggi untuk tahun 2020 pada bulan Disember, iaitu sebanyak 9,246 unit, UMWT berjaya mencatatkan jumlah keseluruhan jualan sebanyak 59,320 unit bagi tahun 2020.

Ini melebihi sasaran penjualan 53,000 unit bagi tahun 2020 sebanyak 6,320 unit atau 11.9%, dimana Toyota Vios, Yaris dan Hilux menjadi model UMWT yang terlaris untuk tahun ini.

Toyota Vios dan Yaris yang baru dikemaskini telah secara rasmi dilancarkan pada 17 Disember 2020. Pada masa yang sama, UMWT juga telah memperkenalkan Toyota GR Yaris dan Vios GR-S, sebagai sebahagian daripada barisan Gazoo Racing.

Pelancaran model-model baru dan menarik pada tahun 2021 diharapkan dapat mendorong peningkatan penjualan pada tahun 2021.

Sementara itu, Perodua telah mencatatkan jualan sebanyak 25,171 unit pada Disember 2020, jualan bulanan kedua tertinggi bagi tahun ini, membawa kepada jumlah penjualan keseluruhan pada tahun 2020 sebanyak 220,154 unit.

Perodua telah berjaya mengatasi sasaran jualannya sebanyak 10,154 unit atau 4.8% berbanding sasaran jualannya sebanyak 210,000 unit bagi tahun 2020.

Perodua Myvi, Axia dan Bezza terus kekal menjadi model terlaris pada tahun 2020. Perodua akan terus memenuhi permintaan pesanan yang tertunggak dan mendorong meningkatkan penjualan pada tahun 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Dato ’Ahmad Fuaad Kenali berkata,“ Kami sangat menghargai sokongan yang diberikan oleh pelanggan kami dalam mendorong meningkatkan prestasi penjualan bagi segmen automotif kami pada tahun 2020 walaupun menghadapi cabaran yang disebabkan oleh wabak COVID-19.

Pemulihan permintaan pesanan pada separuh kedua tahun 2020 telah didorong oleh inisiatif pengecualian cukai penjualan yang dilaksanakan oleh Kerajaan di bawah program PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) yang memberi manfaat kepada ekosistem automotif Malaysia.

“Kami sangat menghargai usaha Kerajaan dalam melaksanakan inisiatif pengecualian cukai penjualan ini, ditambah pula dengan melanjutkan tempohnya sehingga 30 Jun 2021 yang akan mempercepat pemulihan sektor automotif,” katanya.