Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Selangor hari ini, mengadakan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Kali Ke-4 dan Pemilihan AJK Baru Sesi 2021/2022.

MAJLIS yang bermula dari jam 9 pagi dan berakhir jam 11 pagi itu dihadiri kira-kira 50 penduduk penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3 mengikut norma baharu dan SOP ditetapkan oleh kerajaan diadakan di hadapan pondok pengawal taman berkenaan.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Lim Kim Eng yang hadir merasmikan mesyuarat itu berkata, persatuan penduduk adalah penting sebagai rujukan kepada semua penduduk untuk mengadu sebarang masalah yang timbul dikalangan penduduk sesebuah taman.

Beliau berkata, kewujudan persatuan penduduk amat dialu-alukan kerana persatuan boleh bertindak menjadi wakil untuk menyuarakan sebarang masalah kepada pihak MPKJ sekali gus menjadi penghubung antara penduduk dengan pihak berkuasa tempatan.

“Masalah seperti perparitan atau jalan raya yang rosak di dalam taman ini boleh diajukan terus kepada pihak MPKJ atau saya sendiri. Saya akan membantu penduduk untuk menyelesaikan masalah mereka kerana saya ditugaskan untuk berkhidmat kepada penduduk di Bandar Mahkota Cheras,” katanya di sini, hari ini.

Kim Eng berkata, setiap aktiviti yang dijalankan oleh persatuan penduduk boleh memohon peruntukan kepada ahli majlis yang dilantik dan peruntukan lebih mudah disalurkan jika sesebuah persatuan penduduk itu berdaftar secara sah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“Saya difahamkan penduduk membayar yuran perkhidmatan sekuriti sebanyak RM50 sebulan kepada persatuan penduduk, ini adalah kadar bayaran yang amat berpatutan kerana disesetengah kawasan taman perumahan bayarannya adalah antara RM70 hingga RM100 sebulan.

“Saya berharap semua penduduk akan memberikan kerjasama dan sokongan kepada pihak persatuan untuk menjalankan tugas serta aktiviti yang akan rancang pada tahun depan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua ahli AJK Bagi Sesi 2019/2020 yang berkhidmat selama dua tahun secara sukarela dengan persatuan.

Kim Eng turut menyampaikan cenderamata berupa kalender 2021 dan topeng muka kepada penduduk yang hadir pada mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras bagi sesi 2019/2020, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada semua AJK yang telah berkhidmat kepada persatuan dan memberikan kerjasama penuh kepada setiap aktiviti yang dijalankan.

“Kami merancang pelbagai aktiviti pada tahun ini tetapi malangnya akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara pada awal Mac tahun ini, menyebabkan semua aktiviti berkenaan ditangguhkan.

“Meskipun kita terpaksa mengadakan aktiviti kutipan bayaran sekuriti bulanan mengikut norma baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan, saya berharap semua penduduk akan meneruskan sokongan kepada AJK baharu yang dilantik nanti,” katanya dalam ucapan aluan sempena mesyuarat agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan Bandar Mahkota Cheras, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua AJK yang telah memberikan kerjasama kepada persatuan dalam usaha untuk memastikan kawasan perumahan berada dalam keadaan selamat tanpa bimbang berlakunya kes jenayah seperti pecah rumah dan kecurian.

Mesyuarat kemudian diteruskan dengan pembentangan minit mesyuarat agung oleh Pengerusi persatuan, Nik Shukri Nik Ahmad dan disusuli dengan pembentangan laporan penyata kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan, penduduk sebulat suara mencadangkan perlantikan semula Pengerusi Persatuan, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad sebagai Pengerusi bagi sesi 2021/2022 dan Dr Mohd Khairuddin Kandar sebagai Timbalan Pengerusi.

Dalam mesyuarat itu, beberapa penduduk turut dilantik menjadi AJK baharu persatuan untuk tempoh dua tahun.

Senarai AJK Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan Bandar Mahkota Cheras bagi penggal 2021-2022:

  1. Pengerusi : Nik Mohd Shukri Nik Ahmad
  2. Timbalan Pengerusi : Dr Mohd Khairuddin Kandar
  3. Setiausaha : Badrila Jamlus
  4. Penolong Setiausaha : Peter Loo
  5. Bendahari : Azizuddin Abdullah
  6. Penolong Bendahari : Lee Moi Wah
  7. Juruaudit : Lye Boon Huat
  8. Penasihat : Zakaria Idris
  9. AJK         : Mazran Akhyari Kamali Hatmal
  10. AJK         : Mohd Shahrul Azuan Mohd Said
  11. AJK.        : Effendy Kway Abdullah
  12. AJK.        : N.Vasuthevan Nadarajah Naina
  13. AJK.        : Shahril Nizam Ab Samad
  14. AJK.        : Ramasamy@James
  15. AJK.        : Mohd Azlee Abd Aziz
  16. AJK.        : Sirajulfikri Ishak
  17. AJK.        : Md Noor Md Lazim
  18. AJK.        : Mohd Ariff Ahmad
  19. AJK.        : Jayah Velmurugan
  20. AJK         : Mohd Rozlan Mohamed Nor
  21. AJK         : Puan Julie

Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan yang ditubuhkan secara rasmi pada 2016, sebelum ini sudah mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan penduduk setempat. Ketika ini, Jalan Pahlawan mempunyai 295 unit rumah dengan jumlah peratusan penduduk yang membayar yuran keselamatan ialah kira-kira 80 peratus.

Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Seksyen 3, Cheras Selangor kali ke-4 dibawah ini.