Sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu sehingga kini di fasa PKP Bersyarat (PKPB), banyak yang didengari mengenai peranan pemandu dan penunggang e-hailing itu sebagai barisan hadapan tidak didendang.

Mereka bukan sahaja membantu negara mengawal penyebaran virus COVID-19 kerana tanpa usaha gigih mereka rakyat dapat melakukan pembelian harian meliputi makanan atau barangan tanpa keluar dari rumah masing-masing.

Jika kita melihat kepada golongan penunggang perkhidmatan e-hailing misalnya, satu ketika dahulu jumlah mereka dilihat tidak terlalu ramai di jalan raya, namun kini senarionya berbeza apabila mereka kelihatan dimana-mana dengan beg yang disandang dibelakang mewakili warna syarikat masing-masing.

Kehadiran mereka dalam jumlah yang ramai ini salah satunya disebabkan ramai kini kehilangan pekerjaan tetap atau mencari pendapatan tambahan dan terpaksa mencari nafkah menceburi bidang e-hailing yang dilihat lebih mudah tanpa memerlukan modal yang besar.

Rata-rata kebanyakan mereka menceburi bidang itu bukan sahaja terdiri daripada pelajar, graduan malah profesional yang kehilangan tempat bergantung disebabkan pandemik COVID-19 yang menyaksikan beberapa industri atau sektor pekerjaan menerima kesan yang teruk seperti penerbangan, pelancongan, pendidikan atau syarikat percetakan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi masing-masing.

Justeru, jalan paling mudah ialah menjadi pemandu atau penunggang e-hailing sama ada menghantar makanan, barangan atau membawa penumpang pada masa sama menjalankan kerja sampingan lain.

Maka tidak hairanlah, ramai pemandu dan penunggang ini mewujudkan laman sosial kumpulan masing-masing di facebook untuk meluahkan perasaan atau berkongsi kisah kehidupan seharian sama ada ‘kisah manis atau pahit’.

Tidak kurang juga bercerita mengenai berita kemalangan jalan raya yang menimpa ‘rider-rider’ ini yang sudah dianggap sebagai ‘satu keluarga’ atas semangat ‘brotherhood’.

Bagaimanapun, masalah mereka tidak terhenti begitu sahaja kerana apabila terlalu ramai yang menceburi bidang e-hailing ini menyebabkan ‘saiz kek’ yang perlu dikongsi bersama semakin kecil berbanding sebelum ini.

Apabila kerajaan melaksanakan PKPB dengan arahan jumlah pekerja di sesebuah syarikat dihadkan kepada 30 peratus, maka ramai pula yang bekerja di rumah (WFH) dan semakin ramai pula yang tidak keluar menggunakan perkhidmatan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

Maka, ramai yang mengeluh kerana jumlah penumpang mereka semakin merosot sedangkan kos harian daripada segi kos bahan api, sewa kenderaan, kos penyelenggaraan terpaksa ditanggung setiap hari.

Tidak kurang juga yang beranggapan kerjaya yang mereka lakukan kini amat berisiko tinggi kerana mendedahkan diri mereka dalam risiko COVID-19 yang sedang menyaksikan peningkatan kes dijangkiti melebihi 1,000 kes setiap hari.

Masalah dihadapi pemandu dan penunggang e-hailing ini turut diakui Perdana Menteri sendiri yang berkesempatan ‘turun padang’ menemui golongan ini baru-baru ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bertemu sekumpulan daripada mereka di Pusat Pemandu Grab di Petaling Jaya berkata, ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih lapan jam sehari selain ramai menjadi pemandu atau riders sepenuh masa setelah hilang pekerjaan tetap.

“Sebelum Covid-19, mereka memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke RM5,000 sebulan namun sekarang, mereka hanya memperoleh sekitar RM2,000 ke RM2,500 sebulan atau kurang daripada itu bergantung kepada kekerapan perjalanan yang dibuat.

“Sekarang ini kalau mendapat RM100 sehari pun mereka mampu tersenyum tetapi jika mereka mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar. Saya bangga dengan semangat dan dedikasi mereka,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Muhyiddin berkata, daripada luahan hati mereka, rata-ratanya menunggu peluang pekerjaan yang lebih baik dan stabil, namun tidak mahu berpeluk tubuh dan memilih pekerjaan itu yang sekurang-kurangnya dapatlah membantu menampung kehidupan bersama keluarga.

Malangnya, kata Perdana Menteri, mereka juga menghadapi masalah lain seperti kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan dan kekangan bantuan kerajaan seperti subsidi minyak. Sehubungan itu, beliau memberi jaminan untuk mengkaji perkara berkenaan dan berbincang dengan kementerian berkaitan.

Sementara itu, kebanyakan pemandu dan penghantar Grab juga melahirkan kebimbangan mengenai peraturan Lesen Pengendali Sementara (LPS) dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau p-hailing, yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan bermula 1 Januari tahun depan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah ketika memberitahu Dewan Rakyat pada 19 Ogos lalu sebagai berkata, kementeriannya sedang menyediakan peraturan dan garis panduan perkhidmatan berkenaan khususnya penggunaan motosikal.

Hasbi berkata, ketika ini terdapat kira-kira 200,000 pemandu mendaftar dengan 45 syarikat perkhidmatan e-hailing sejak 2018.

“P-hailing akan berbeza berbanding perkhidmatan e-hailing. Perkhidmatan ini akan diberikan lesen mengikut peraturan dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987, sebagai tambahan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Al Bakri dipetik di sebuah portal berita berkata, Kementerian Pengangkutan sudah mula mengadakan perbincangan diperingkat awal mengenai perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, beliau berkata meskipun perkara itu sedang dibincangkan tidak semestinya akan dilaksanakan esok. Sepertimana kes e-hailing, ia mengambil masa bertahun sebelum ia dilaksanakan. Ia akan dilaksanakan tetapi saya tidak mahu menetapkan sebarang tempoh pelaksanaannya,” katanya.

Hasbi berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat penuh mengenai perkara ini tetapi adalah lebih baik jika kenyataan itu diperoleh sendiri daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, idea untuk mewujudkan garis panduan mengenai perkhidmatan penghantaran e-hailing ini ditimbulkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang memberikan penekanan mengenai aspek keselamatan penunggang e-hailing ini.

Dalam satu kajian dilakukan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mendapati sebanyak 82 peratus daripada penunggang ini tidak mematuhi peraturan trafik jalan raya seperti melanggar lampu isyarat dan menunggang dalam keadaan membahayakan.

Laporan Miros yang sudah diserahkan kepada Menteri Pengangkutan itu menekankan kepada aspek disiplin penunggang motosikal e-hailing ketika dijalan raya dan juga mengetengahkan beberapa kelemahan kepada kementerian berkenaan.

Sementara itu, beberapa syarikat yang menyediakan perkhidmatan e-hailing mengesahkan sudah dijemput untuk mengadakan mesyuarat dengan APAD untuk berbincang mengenai kadar komisen dan lesen sementara bagi penghantaran menggunakan kereta.

Bagaimanapun, tindakan kerajaan untuk melaksanakan peraturan dan garis panduan itu menerima pelbagai reaksi daripada syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan kerana mereka berpendapat kerajaan berusaha meraih pendapatan daripada perkhidmatan yang disediakan.

Mereka berpendapat, APAD sepatutnya bertindak menguruskan pengangkutan awam dan bukannya dalam perkara itu kerana syarikat yang terbabit hanya menguruskan penghantaran makanan dan barangan bukannya membawa sebarang penumpang.

Difahamkan dengan pembabitan APAD, sebanyak 20 peratus perolehan daripada caj penghantaran akan diberikan kepada pihak berkuasa.

Mereka berpendapat, jika pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberikan kuasa untuk melaksanakan peraturan ini, maka ini akan menjejaskan masa penghantaran barangan disebabkan oleh sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut yang dilakukan.

“Jika peraturan dan garis panduan ini tidak dilaksanakan dengan baik, ia akan menyebabkan jumlah penunggang motosikal e-hailing akan menyusut kepada 40 peratus sebagaimana yang pernah terjadi kepada pemandu e-hailing ketika kerajaan melaksanakan peraturan mewajibkan memiiki lesen kenderaan awam (PSV) satu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 ini memberikan cabaran baru dalam pasaran kerja di negara ini dan kerajaan harus mengambilkira keadaan semasa yang sukar ketika ini apabila ramai yang kehilangan pekerjaan serta pada masa sama jumlah kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal yang menghantar makanan juga tidak diabaikan.

Sebagaimana Perdana Menteri yang menyifatkan golongan pemandu dan penghantar ini sebagai petugas barisan hadapan, Tan Sri Muhyiddin menzahirkan rasa bangga dengan semangat dan dedikasi mereka bagi mencari rezeki untuk keluarga demi kelangsungan hidup terutama sejak wabak COVID-19 melanda negara.

Justeru, mengambil kira masalah yang timbul ini, Perdana Menteri akan meminta Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula mengenai peraturan Lesen Pengendali Sementara (LPS) dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (p-hailing) yang bakal dilaksanakan sebagaimana dibimbangi kumpulan pekerja ini.

“Saya amat menghargai sumbangan besar para pemandu dan riders dalam menjana ekonomi negara. Mereka bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri bahkan turut membantu memperluaskan rantaian ekonomi para peniaga lain,” katanya.

Muhyiddin turut berpesan kepada semua pemandu dan riders agar menjaga keselamatan diri dalam kegigihan mencari rezeki.