“Ampa tak pi Penang, Penang mai kat ampa”..! Itulah tagline yang digunakan oleh anak jati  Pulau Pinang dikenali sebagai ‘Mamu Zir’ yang sanggup berulang-alik sejauh lebih 700 kilometer (km) setiap Sabtu, Ahad dan Isnin melakukan penghantaran nasi kandar popular dari utara ini.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula, maka semua orang tidak boleh bergerak ke sana ke sini dengan mudah kerana pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sepanjang PKPB.

Bagaimanapun, jangan risau kerana bagi anda yang sememangnya seorang peminat tegar nasi kandar dari Pulau Pinang, tidak perlu kecewa kerana Nasik Kandaq Transporter (NKT) akan menghantar nasi kandar ini dari Pulau Pinang terus ke Kuala Lumpur setiap Sabtu, Ahad dan Isnin.

Jadi, apa yang anda perlu lakukan ialah memesan jenis nasi kandar yang anda mahu menerusi lima set menu pilihan dari 10 restoran yang disenaraikan dan nasi kandar ini akan tiba di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Bagi mereka yang mahu nasi kandar dihantar terus rumah, boleh berbuat demikian dengan membayar caj tambahan RM18 dan nasi berkenaan akan dihantar oleh ‘Pengantaq NKT’ ke alamat yang diberikan.

Tempahan dibuka pada hari Isnin dan penghantaran dibuat pada hari Sabtu manakala tempahan pada Selasa untuk penghantaran pada Ahad dan Jumaat bagi tempahan yang dihantar pada hari Isnin.

Pengasas NKT, Mohamed Hidzir Mohamed Nordin, 42, berkata idea untuk melakukan penghantaran nasi kandar ini diperolehi dari laman sosial facebook (FB) apabila saya melihat sebuah laman FB yang mempunyai lebih 80,000 ahli yang semuanya peminat nasi kandar Pulau Pinang.

“Dari situ bermulanya idea untuk menghantar nasi kandar dari Pulau Pinang terus kepada pelanggan di Lembah Klang. Saya kemudian mencubanya dengan membuat penghantaran pertama sebanyak 24 bungkus pada Jun lalu,” katanya ketika ditemui wartawan Prebiu.com.

Mohamed Hidzir (kanan) bersama salah seorang pelanggan di Kuala Lumpur

Beliau berkata, sebanyak 10 kedai nasi kandar popular Pulau Pinang ditawarkan kepada pelanggan di Kuala Lumpur.

“Sebelum terbabit dengan bisnes nasi kandar ini, saya pernah terbabit dengan perkhidmatan pembersihan pejabat di Pulau Pinang namun apabila perniagaan ini terjejas teruk akibat PKP, maka saya mencuba pula bisnes penghantaran nasi kandar.

“Bermula dengan 24 bungkus pada Jun lalu, kini pesanan mula meningkat kepada 900 bungkus dengan tempahan paling tinggi ialah pada hari Isnin. Disebabkan tempahan yang terlalu banyak, saya terpaksa membuka tempahan hanya dalam tempoh 20 minit,” katanya.

Bagi mengekalkan keenakan rasa nasi kandar ini, selain dihantar ke Lembah Klang, ‘mamu zir’ juga turut melakukan penghantaran nasi kandar Pulau Pinang ke Sungai Petani, Kedah pada setiap Khamis.

Harga nasi kandar mengikut menu pilihan bermula dari RM7 hingga RM14 manakala harga kari kepala ikan pula RM65 seketul bergantung kepada saiz ikan. Caj penghantaran sebanyak RM10 dikenakan untuk tiga bungkus nasi kandar dan caj RM18 dikenakan jika mahu penghantaran terus dilakukan ke rumah anda.

Anak jadi Pulau Pinang ini berkata, dia akan mula bergerak ke Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengahari selepas semua tempahan disiapkan di kedai-kedai yang terpilih dan singgah sebentar di Ipoh, Perak sebelum meneruskan perjalanan dengan hentian pertama di Sungai Buloh.

“Setibanya di Sungai Buloh, disana beberapa buah kereta yang bertindak sebagai ‘Pengantaq NKT’ akan menanti kami untuk menghantar pesanan pelanggan ke beberapa lokasi lain seperti di Shah Alam, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Cheras, Kajang dan Putrajaya.

“Pelanggan yang membuat pesanan boleh menjejaki perjalanan kami dari Pulau Pinang menerusi aplikasi ‘live location’ dan akan menunggu di setiap hentian yang ditetapkan untuk mengambil tempahan.

“Ada kalanya jika tempahan yang banyak maka kita akan melakukan konsep ‘pandu lalu’ sebagaimana kita lakukan di lokasi berhampiran Stadium Shah Alam,” katanya.

Mohamed Hidzir berkata, tugasnya turut dibantu 11 kakitangan lain bermula seawal jam 7 pagi dengan kerja-kerja pembungkusan nasi kandar dilakukan sendiri di kedai terbabit dan hanya berakhir kira-kira jam 7 malam selepas semua penghantaran selesai dilakukan dengan hentian terakhir di Kajang.

“Kalau diikutkan, memang kos berulang-alik ini tinggi namun demi kepuasan pelanggan di Lembah Klang, saya gagahkan diri untuk membawa makanan popular Pulau Pinang ke sini. Malah saya juga menerima banyak pertanyaan daripada peminat nasi kandar di Johor Bahru,” katanya yang merancang meluaskan perkhidmatan ini sehingga di luar Lembah Klang pada satu hari nanti.

Beliau berkata, sejak perkhidmatan ini diperkenalkan, ramai pengusaha nasi kandar mampu ‘tersenyum’ kembali kerana apabila PKPB dilaksanakan semula, kebanyakan perniagaan mereka terjejas teruk disebabkan kekurangan pelanggan.

“Mengendalikan urusan penghantaran nasi kandar ini tidak mudah dan banyak cabaran perlu dilalui kerana perlu melayani pelbagai kerenah pelanggan seperti membuat tempahan penghantaran ke rumah pada saat akhir selain perlu memastikan urusan pengagihan tempahan berjalan dengan lancar.

“Dalam usaha menghargai pelanggan, kami juga mengedarkan pelekat kenderaan yang memiliki nombor siri khas yang mana kami akan melakukan cabutan bertuah menerusi nombor berkenaan,” katanya.

Cara Memesan:

  1. Sertai laman sosial facebook Nasik Kandaq Transporter (PENANG to KL)
  2. Sertai kumpulan telegram Nasi Kandaq Transporter (NKT) dan WhatsApp atau Instagram
  3. Tempah Menu menerusi Google Forms
  4. Sahkan tempahan dan buat bayaran ke akaun Utri Marketing (Maybank 564557343638)

Senarai Restoran Nasi Kandar Pulau Pinang:

  1. Nasi Kandar Kampung Melayu, Georgetown
  2. Nasi Kandar Mohamed Raffee
  3. Nasi Kandar Hameediyah
  4. Nasi Kandar Deen, Jelutong
  5. Nasi Kandar Imigresen
  6. Nasi Kandar Deen Maju
  7. Nasi Kandar Sulaiman
  8. Nasi Kandar Ali Amier
  9. Nasi Kandar Yusof, Relau
  10. Nasi Kandar Jamal ‘Ketapang’

*Gambar dan video ehsan dari facebook dan instagram Nasik Kandaq Transporter