Pengendali Takaful bekerjasama dengan Caliph Group untuk meningkatkan kesedaran takaful di kalangan komuniti B40
FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) melalui kumpulan agensi terbesarnya, Caliph Consultancy Group Sdn Bhd (Caliph Group), telah melancarkan #BusinessWithASoul, kempen untuk meningkatkan kesedaran serta mendidik rakyat Malaysia, dengan fokus kepada komuniti B40, tentang kepentingan perlindungan takaful.
FWD Takaful akan bekerjasama dengan Caliph Group melalui kempen ini yang akan menyaksikan ahli pasukan Caliph Group mengunjungi komuniti terpilih untuk memberi nasihat dan bimbingan secara percuma dan memperkenalkan mereka kepada FWD Kasih, produk mikro takaful yang direka khas untuk komuniti berpendapatan rendah.

Wan Mohd Fadhlan Mohd Azmi, Ketua Pegawai Agensi berkata, “Kami sangat menyedari kebimbangan tentang keadaan kewangan yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia kini, terutamanya tahun ini yang cukup mencabar buat masyarakat kita.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Caliph Group untuk inisiatif yang bermakna ini, dan berharap kami dapat membantu meringankan beban kewangan dalam komuniti dan mengubah pandangan orang ramai tentang Takaful.”
Dengan kapasiti lebih daripada 1,500 ejen di lapan negeri, Caliph Group merupakan salah satu agensi Takaful Keluarga yang paling pesat berkembang di Malaysia dan telah memberikan perkhidmatan Takaful selama bertahun-tahun.
Sementara itu, Mohd Hamzavi Md Zain, Pengarah & Pengasas Agensi Caliph Group berkata, “Kami berbangga dapat bekerjasama dengan pengendali Takaful yang memperkasakan pelbagai segmen masyarakat dengan perlindungan Takaful melalui inovasi digital.
“FWD Kasih adalah berpatutan, mudah dan boleh membantu golongan berpendapatan rendah di waktu memerlukan. Oleh itu, kami akan menggerakkan ejen-ejen kami ke seluruh negara untuk membantu dan mendidik komuniti B40 bagaimana takaful dapat membantu keluarga-keluarga mereka mengatasi cabaran kewangan.”
Untuk memaksimumkan impak kempen ini, Caliph Group akan membuat pelbagai aktiviti seperti membuka booth nasihat percuma – secara fizikal dan secara maya – serta berpotensi bekerjasama dengan organisasi bukan kerajaan (NGO), selaras dengan matlamat jangka panjangnya untuk membina masyarakat yang berdaya tahan melalui jaminan kewangan.
FWD Kasih menyediakan perlindungan kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,000 sebulan, dimana jumlah dilindungi akan dibayar sepenuhnya jika berlaku kematian dan Hilang Upaya Penuh dan Kekal (HUPK), serta 200% daripada jumlah dilindungi jika kematian disebabkan kemalangan.
Tambahan lagi, ia menyediakan manfaat Badal Haji atau derma kepada badan kebajikan sebanyak RM2,500 dan perbelanjaan pengebumian sebanyak RM3,000.





































