Pelan Takaful mampu milik yang menyediakan akses perlindungan kepada komuniti berpendapatan rendah
FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) baru-baru ini telah melancarkan FWD Kasih, sebuah pelan mikro-Takaful dalam talian yang direka khas untuk membantu golongan berpendapatan rendah di Malaysia, dengan sumbangan bulanan serendah RM2.03¹ sebulan bagi wanita dan RM2.54² bagi lelaki.
Salim Majid Zain, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful berkata, “FWD Kasih bertujuan untuk memperkasakan golongan berpendapatan rendah dengan menjadikan Takaful mudah disertai, mampu milik dan mudah untuk diperolehi.
“Kami amat berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam masyarakat dan membantu melindungi keluarga-keluarga ini serta mengurangkan bebanan kewangan mereka disebabkan situasi-situasi yang tidak diduga. Dengan FWD Kasih, kami terus menghidupkan visi kami iaitu mengubah pandangan orang ramai tentang Takaful.”
FWD Kasih menawarkan perlindungan kepada mereka yang berumur 19 sehingga 54 tahun dengan pendapatan bulanan isi rumah sehingga RM5,000 sebulan, dengan membayar sepenuhnya jumlah dilindungi akibat kematian dan Hilang Upaya Penuh dan Kekal (HUPK) serta 200% daripada jumlah dilindungi akibat kematian disebabkan kemalangan.
Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi, Ketua Strategi dan Pengedaran Digital berkata, “Lazimnya, keluarga yang berpendapatan rendah akan mengalami kesusahan untuk meneruskan kehidupan apabila ketua keluarga tidak lagi dapat menyara keluarga disebabkan kematian atau kehilangan upaya.
Inklusiviti kewangan amat penting bagi kami, dan di FWD Takaful kami percaya bahawa pendapatan tidak seharusnya menjadi halangan untuk mendapatkan perlindungan. Kami komited untuk memberikan akses perlindungan takaful kepada kumpulan orang yang paling memerlukan dalam komuniti kita, oleh itu kami memperkenalkan FWD Kasih agar mereka dapat mendapat manfaat dengan harga mampu milik.”
FWD Kasih menawarkan empat (4) pilihan pelan dengan jumlah dilindungi sebanyak RM10,000, RM20,000, RM30,000 atau RM40,000. Semua rakyat Malaysia yang layak boleh mendaftar terus secara dalam talian di fwd.com.my/direct/kasih.