Prihatin dengan golongan asnaf, kaunter zakat Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 14 sehingga 27 Oktober 2020.

Kaunter Baitulmal di ibu pejabat MAIWP di Bangunan PERKIM dan 9 buah Pusat Agihan Zakat (PAZA) Baitulmal yang terletak di sekitar Kuala Lumpur beroperasi mulai jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang bagi urusan berkaitan bantuan zakat.

Unit Komunikasi Korporat MAIWP dalam kenyataannya berkata, kaunter beroperasi pada Isnin hingga Jumaat kecuali PAZA di UTC Pudu dan UTC Keramat yang beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

MAIWP akan sentiasa memastikan pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan seperti penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sebagainya semasa berurusan di kaunter.

Selain itu, bagi memudahkan penerima Bantuan Zakat Kewangan Bulanan dan Bantuan Zakat Sewa Rumah yang akan tamat pada Oktober dan November 2020, bantuan tersebut akan disambung secara automatik tanpa memerlukan asnaf untuk hadir ke kaunter Baitulmal bagi proses penyambungan.

Perkara ini akan memberi manfaat kepada hampir 5,000 penerima bantuan.

Orang ramai juga dimohon untuk melaporkan kepada MAIWP mereka yang terjejas dan berada dalam kesusahan di Wilayah Persekutuan terutamanya semasa PKPB.

Laporan boleh dibuat menerusi aplikasi telefon pintar Mobil Jejak Asnaf bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP turun padang membantu mereka.