UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pemaju hartanah yang bakal menuju usia 50 tahun pada 2021 melancarkan ‘Pertandingan Mencipta Logo Ulang Tahun UDA ke-50’ sempena permulaan sambutan Jubli Emas di sini, baru-baru ini.

Dato’ Jalaluddin Alias, Pengerusi UDA berkata, “Pertandingan mencipta logo ini membuka tirai sambutan ulang tahun UDA yang ke-50 pada tahun hadapan.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Emas ini, UDA berbesar hati untuk berkongsi kemeriahan dengan membuka penyertaan kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

“Selama hampir separuh abad UDA menggalas peranan dan tanggungjawab untuk memaju dan melaksanakan projek-projek pembangunan bandar dan kini UDA setanding dengan syarikat-syarikat pemaju hartanah yang diiktiraf di Malaysia.

“Ini semua adalah hasil sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap usaha dan kerja keras yang digalas oleh UDA,” katanya.

Penyertaan mula dibuka pada 10 Oktober 2020 dan ditutup pada 31 Oktober 2020. Pemenang bakal diumumkan pada bulan November 2020.

Hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM25,000. Pemenang hadiah utama bakal menerima wang tunai bernilai RM10,000.00, manakala tempat kedua dan ketiga bakal menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000. Seramai 7 pemenang hadiah saguhati pula bakal menerima RM1,000 setiap seorang.

UDA turut menggalakkan penyertaan daripada pelajar universiti khususnya para pelajar dari bidang seni dan rekaan grafik. Inisiatif itu selari dengan salah satu  teras tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA iaitu UDA Cares Educational yang menyasarkan pada pembangunan serta perkembangan generasi muda.

UDA akan mempromosikan pertandingan tersebut dengan mengedarkan poster hebahan ke universiti-universiti tempatan di seluruh Malaysia.

Individu yang berminat boleh melayari laman sesawang rasmi UDA (http://uda.com.my/) atau platform media sosial rasmi UDA seperti Facebook (facebook.com/UDAHoldings) dan Instagram (uda_official) untuk maklumat lanjut.

Penganjuran ‘Pertandingan Mencipta Logo Bersempena Ulang Tahun UDA ke-50’ juga selari dengan fokus UDA dalam meningkatkan kesedaran ramai terhadap perjalanan UDA dan dalam masa yang sama memperkenalkan logo UDA yang telah diberi nafas baharu.

UDA yang sebelum ini dikenali sebagai Urban Development Authority di awal penubuhannya telah diwujudkan pada 12 November 1971 bertujuan mengembangkan perancangan kemajuan bandar dari aspek komersial, perumahan dan infrastruktur.

Kini, UDA beroperasi sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang bernaung di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (Ministry of Finance Incorporated) dan dipantau oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Untuk maklumat lanjut mengenai UDA, sila layari laman sesawang kami di http://www.uda.com.my/ atau laman Facebook facebook.com/UDAHoldings dan Instagram @uda_official.